RTB Sungai Bernam atasi masalah banjir di Behrang

LocalEnvironment
2 Nov 2026 • 1:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RTB Sungai Bernam atasi masalah banjir di Behrang

TANJUNG MALIM: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bernam di sini dapat mengurangkan kesan banjir di Behrang terutama pada Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, projek bernilai RM7 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Januari ini.

“Projek ini meningkatkan tahap perlindungan banjir serta mengurangkan risiko limpahan air sungai yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk khususnya kepada lebih 1,000 rakyat di pekan Behrang Stesen.

“Skop utama projek ini merangkumi tujuh komponen pembinaan iaitu kolam takungan banjir seluas 2.5 hektar dan pembinaan ban tanah sepanjang 773 meter,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika lawatan kerja ke Tapak RTB Sungai dan Persediaan JPS Menghadapi Monsun Timur Laut di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.

Mohammad Nizar berkata, projek tebatan banjir itu turut melibatkan pemuliharaan Sungai Bandan sepanjang 250 meter, pembinaan parit tanah sepanjang 550 meter, pembinaan longkang berbentuk U sepanjang 400 meter.

Selain itu, pembinaan sebuah pintu katup serta menaiktaraf tiga pintu katup sedia ada dan pembinaan pagar keselamatan sepanjang 700 meter.

“Pembinaan kolam takungan banjir berkeluasan 2.5 hektar dengan kedalaman 2.5 meter ini mempunyai anggaran kapasiti sebanyak 62,500 meter padu air yang berfungsi menampung lebihan air larian permukaan.

“Air tersebut akan dilepaskan ke sistem sungai bagi membantu mengurangkan kadar aliran puncak ketika hujan lebat,” katanya.

Jelasnya, pembinaan ban tanah berfungsi sebagai benteng perlindungan bagi mengurangkan risiko limpahan Sungai Bandan ke kawasan penempatan berhampiran apabila paras air meningkat.

Berhubung membendung risiko kejadian kepala air di Perak, Mohamad Nizar berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan Projek Pembinaan Infrastruktur Sabo melibatkan daerah Kampar, Batang Padang dan Muallim dengan peruntukan RM75 juta.

Kejadian kepala air kerap berlaku di tiga daerah ini yang menyebabkan kerosakan infrastruktur awam seperti jambatan dan rumah penduduk. – UTUSAN

The post RTB Sungai Bernam atasi masalah banjir di Behrang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved