RTM bawakan siaran langsung F1 Gulf Air Bahrain GP secara percuma

2 Oct 2026 • 2:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RTM bawakan siaran langsung F1 Gulf Air Bahrain GP secara percuma Image from: RTM bawakan siaran langsung F1 Gulf Air Bahrain GP secara percuma liza02/10/2026 - 14:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt – Peminat Formula 1 (F1) di Malaysia berpeluang menyaksikan aksi perlumbaan secara percuma menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena penganjuran kejohanan itu ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu di Facebook rasminya.


“Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia! RTM akan menyiarkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 secara langsung agar kemeriahan perlumbaan ini dapat dinikmati bersama.

 

“Saya berharap siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat di seluruh pelosok tanah air untuk merasai debaran perlumbaan bertaraf dunia dari Litar Antarabangsa Sepang,” katanya.

 

Langkah itu membolehkan peminat mengikuti perlumbaan F1 tanpa perlu mendapatkan khidmat langganan berbayar, sekali gus memperluas akses kepada acara permotoran berprofil tinggi yang kembali berlangsung di Sepang selepas sembilan tahun kali terakhir penganjurannya.

 

Perlumbaan berkenaan dijadual berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad, dengan pelbagai sesi termasuk latihan bebas, kelayakan dan perlumbaan utama.

 

Perlumbaan utama pada Ahad dijadualkan bermula pada jam 3 petang dan akan berlangsung sebanyak 56 pusingan di litar yang menjadi antara lokasi ikonik dalam kalendar F1 sebelum ini.

 

Kepulangan F1 ke Sepang berlaku selepas Malaysia kali terakhir menganjurkan Grand Prix pada 2017, sebelum acara itu tidak lagi disenaraikan dalam kalendar kejohanan.

 

Untuk edisi 2026, Malaysia menjadi lokasi gantian bagi perlumbaan Bahrain susulan perkembangan geopolitik yang menyebabkan perlumbaan asal tidak dapat berlangsung seperti dijadualkan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved