Rugi RM182 juta antara faktor Astro mahu jual Astro Fibre kepada Maxis

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 10:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rugi RM182 juta antara faktor Astro mahu jual Astro Fibre kepada Maxis Image from: Rugi RM182 juta antara faktor Astro mahu jual Astro Fibre kepada Maxis johardy18/11/2026 - 10:57 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov - Astro Malaysia Holdings Berhad mendedahkan kerugian sebelum cukai terkumpul RM182 juta dalam empat tahun kewangan adalah antara faktor kumpulan itu memutuskan untuk menjual aset perniagaan jalur lebar Astro Fibre.

 

Pekeliling kepada pemegang saham yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan penjualan itu akan membolehkan Astro keluar daripada perniagaan yang mencatat kerugian setiap tahun sejak dilancarkan pada 2022.

 

Berdasarkan angka pengurusan Astro yang dipetik dalam surat nasihat bebas dalam pekeliling itu, Astro Fibre mencatat kerugian sebelum cukai RM59.3 juta pada FY2023, RM33.2 juta pada FY2024, RM36.8 juta pada FY2025 dan RM52.7 juta pada FY2026.

 

Kerugian meningkat kepada RM52.7 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 walaupun hasil Astro Fibre naik kepada RM188.3 juta daripada RM173.4 juta pada FY2025.

 

Penasihat bebas berpandangan saiz pangkalan pelanggan Astro Fibre yang kecil berbanding penyedia jalur lebar utama lain menyukarkan perniagaan itu mencapai keuntungan dalam pasaran yang kompetitif.

 

Astro menghentikan jualan dan pengambilan pelanggan baharu mulai 1 Februari 2026. Bilangan pelanggan Astro Fibre susut kepada 166,483 setakat 30 Oktober 2026 daripada 178,631 pada 28 Februari 2026.

 

Astro mahu tumpu semula pada perniagaan teras

Astro berkata pelupusan itu akan membolehkan kumpulan mengalihkan sumber kepada perniagaan terasnya, termasuk kandungan, hiburan dan pengiklanan.

 

Kumpulan itu memperuntukkan kira-kira RM81.35 juta daripada hasil pelupusan untuk modal kerja, termasuk membiayai operasi dan perbelanjaan modal bagi penyelenggaraan. Anggaran itu berasaskan harga jualan maksimum RM83 juta.

 

Cadangan jualan kepada Maxis Broadband Sdn Bhd diumumkan pada 23 Oktober lalu. Harga maksimum RM83 juta itu bergantung pada sekurang-kurangnya 155,000 pelanggan Astro Fibre berpindah kepada Maxis Broadband pada tarikh penyempurnaan urus niaga.

 

Astro akan membentangkan cadangan itu untuk kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa pada 3 Disember 2026. Urus niaga disasarkan selesai pada April 2027, tertakluk kepada pemenuhan syarat perjanjian. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved