Rugi RM2.5 bilion jika isu Eagle High tidak ditangani

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rugi RM2.5 bilion jika isu Eagle High tidak ditangani

BANGI: Negara bakal menanggung kerugian mencecah RM2.5 bilion sekiranya isu berkaitan pelaburan Felda dalam Eagle High Plantations TPK (EHP) di Indonesia tidak ditangani sewajarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengutus surat kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi membantu kes yang sedang berjalan di mahkamah negara itu.

Beliau berkata, kes EHP antara contoh skandal pelaburan yang mencatatkan kerugian hingga berbilion ringgit yang tidak sepatutnya berlaku lagi.

“Isu yang dibangkitkan mem­babitkan hotel di London atau Kuching, itu masalah kecil. Isu yang paling besar termasuk pelaburan di Indonesia, Eagle High yang sekarang tersangkut di mahkamah di Indonesia.

“Saya pun sudah menulis surat kepada Presiden Prabowo meminta beliau melihat juga permasalahan ini. Kerugian ka­lau tidak ditangani, (adalah) RM2.5 bilion. Yang mungkin kita perolehi nanti RM200 juta. Ini satu contoh,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus Felda 2026 di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman.

Anwar berkata, pendedahan mengenai angka krisis kewa­ngan itu dibuat supaya seluruh barisan pengurus Felda di peringkat akar umbi menyedari hakikat beratnya cabaran yang terpaksa ditanggung Felda untuk kembali pulih.

Tegas Perdana Menteri, pen­dedahan salah laku dan ke­lemahan pengurusan Ta­bung Haji (TH) melalui laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukan kerana institusi itu membawa imej Islam, seba­liknya berasaskan keperluan memperbetulkan kepincangan yang dikenal pasti.

Anwar berkata, pendekatan sama turut digunakan terhadap institusi lain termasuk Felda dan ia tidak seharusnya dijadikan isu kaum atau agama.

“Ada pula seorang pemimpin parti Islam dia kata, asyik hendak kena tindakan ini, kena tindakan kepada badan-badan (agensi) Melayu dan Islam. Kita ambil tindakan sebab itu bawah kerajaan.

“Kalau ada kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan. Jangan jadikannya ini sebagai permasalahan kaum atau agama. Kita ambil tindakan. Kita tak tanya itu syarikat Me­layu ke syarikat kerajaan. Kalau ada kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan,” katanya. – UTUSAN

The post Rugi RM2.5 bilion jika isu Eagle High tidak ditangani appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved