
PETALING JAYA: Felda didakwa menanggung kerugian besar selepas hampir 10 tahun membuat pelaburan dalam syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations (EHP), apabila nilai saham yang dibeli merosot sehingga 81 peratus.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin mendakwa, pelaburan bernilai RM2.3 bilion itu dibuat pada 2016 melalui pinjaman daripada GovCo Holdings Berhad (GovCo), sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan selepas Felda mengambil alih cadangan pelaburan yang pada asalnya dikemukakan oleh FGV Holdings Berhad (FGV).
Beliau mendakwa, saham EHP yang dibeli pada harga 584 Rupiah sesaham ketika itu kini hanya bernilai 111 Rupiah sesaham.
“Maknanya, nilai saham yang dibeli telah jatuh 81 peratus. Saham EHP pernah jatuh ke paras terendah 50 rupiah sesaham pada sekitar bulan Jun 2024,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan negara bakal menanggung kerugian mencecah RM2.5 bilion sekiranya isu berkaitan pelaburan Felda dalam Eagle High Plantations TPK (EHP) di Indonesia tidak ditangani sewajarnya.
Mengulas lanjut, dakwa Radzi, berdasarkan nilai semasa saham EHP serta kejatuhan nilai mata wang rupiah, pelaburan yang bernilai sekitar RM2.3 bilion ketika dibeli kini dianggarkan hanya bernilai kira-kira RM300 juta.
Radzi mendakwa, dalam tempoh hampir sedekad itu, Felda juga tidak menerima sebarang pulangan daripada pelaburan berkenaan.
Sebaliknya, dakwa beliau, Felda telah membayar prinsipal hutang serta faedah berjumlah RM166.8 juta sehingga 13 Oktober 2025.
“Felda pinjam RM2.3 bilion untuk buat pelaburan dalam EHP pada tahun 2016. Felda tidak mendapat sebarang pulangan sepanjang tempoh pelaburan.
“Sebaliknya, di sepanjang tempoh tersebut Felda telah membayar prinsipal hutang dan faedah berjumlah RM166.8 juta. Felda juga kena lunaskan baki hutang sebanyak RM2.77 bilion,” dakwanya.-UTUSAN
The post Radzi Jidin dakwa Felda labur RM2.3 bilion, tiada pulangan selepas 10 tahun appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Terumbu karang Pulau Redang semakin tenat, ‘overtourism’ antara punca](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/PR-1024x576.jpeg)


