
BANGKOK – Kebakaran besar berlaku di sebuah rumah kedai empat tingkat di pulau peranginan Phuket, Thailand pagi tadi, mengorbankan 11 orang dan mencederakan 16 yang lain, kata polis.
Kebakaran bermula kira-kira pukul 3.30 pagi (4.30 pagi waktu Malaysia) di sebuah bangunan komersial menempatkan restoran dan kediaman sewa, kata seorang pegawai polis dari komuniti Patong di Phuket kepada AFP.
“Anggota bomba mengambil masa dua jam untuk mengawal kebakaran dan mendapati 11 orang terkorban, termasuk warga Thailand dan Myanmar,” katanya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
Seramai 16 orang dirawat di hospital akibat terhidu asap dan cedera terkena serpihan kaca, tambahnya.
Pendekatan Thailand terhadap peraturan kesihatan dan keselamatan terutamanya melibatkan bar dan kelab malam sejak sekian lama menimbulkan kebimbangan.
Pada Julai lalu, sebuah bar yang sesak di Bangkok terbakar, mengorbankan kira-kira 40 orang selepas litar pintas elektrik mencetuskan kebakaran tersebut, kata pihak berkuasa.
Kebakaran turut memusnahkan kelab Santika di Bangkok ketika sambutan Tahun Baru pada 2009, mengorbankan 67 orang dan mencederakan lebih 200 orang. – AFP
The post Rumah kedai terbakar, 11 terkorban appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Kapal kargo rempuh benteng di Lumut](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/84202d08-82d3-4b29-a45e-2407a1681fa4-1024x766.jpeg)

