Rumah, kenderaan musnah terbakar di tiga daerah

17 Apr 2025 • 1:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: R Gonzales, Azmie Lim, Ahmad Apong

Tuaran: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an melecur dalam kebakaran membabitkan sembilan rumah di Kampung Tembiluk, Mengkabong di sini, awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.41 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dikerah ke lokasi kejadian berserta sebuah jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebanyak sembilan rumah jenis tidak kekal terbakar. Lapan rumah musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah musnah 40 peratus.

“Seorang mangsa lelaki turut dilaporkan cedera akibat melecur pada bahagian tangan dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan lanjut,” katanya.

Mohammad Nor berkata, sebuah lori, dua motosikal dan dua kereta dilaporkan turut musnah.

“Pasukan bertindak memadam api menggunakan dua aliran air sehingga api dikawal pada jam 3.30 pagi.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.59 pagi manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Di SEMPORNA, lima rumah bertiang dan dua bot musnah terbakar di Kampung Balimbang Berjasa di Pulau Bum Bum, di sini, pada Rabu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, kebakaran itu juga merosakkan satu lagi rumah dan sebuah bot.

Jabatan menerima panggilan kecemasan pada jam 11.37 pagi dan mengerahkan dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan BBP Atas Air Semporna. Pasukan turut dibantu anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Sebaik tiba, pasukan melaporkan lima rumah musnah 100 peratus sementara sebuah lagi rosak dua peratus. Dua bot musnah terbakar manakala sebuah lagi rosak 10 peratus. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Operasi terkawal pada jam 12.20 tengah hari dan ditamatkan pada jam 2.16 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” tambahnya.

Ahad lepas, sebuah rumah musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 2.31 pagi di Jalan Naparan, SIPITANG.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Calvin Joe Jeafery berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 2.39 pagi.

“Pasukan dikerahkan bersama sebuah jentera FRT dan kenderaan EMRS ke lokasi sejauh empat kilometer.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal yang musnah 100 peratus. Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 100 kaki, dua pancutan dengan sumber ar dari tangki jentera,” katanya.

Tiada kecederaan dilaporkan dengan semua penghuni sempat melarikan diri.

Punca kejadian dan anggaran kerugian disiasat, katanya.