Rumah kongsi jadi stor dadah, tiga termasuk remaja perempuan diberkas

18 Sep 2026 • 5:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rumah kongsi jadi stor dadah, tiga termasuk remaja perempuan diberkas
Polis turut merampas pistol dan menahan remaja perempuan berusia 18 tahun.
Image from: Rumah kongsi jadi stor dadah, tiga termasuk remaja perempuan diberkas
Dua lelaki tempatan diberkas kerana disyaki mengedar dadah di Kulai.

JOHOR BAHRU - Taktik menjadikan rumah kongsi tidak bernombor sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar susulan penahanan tiga individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di Kampung Sepakat Baru, Senai, Kulai minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi pada 11 September itu dijalankan di dua rumah berasingan yang dibina secara haram di lokasi berkenaan.

Menurutnya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis CZ bersama 79 butir peluru 9 milimeter (mm).

Katanya, serbuan di rumah pertama membawa kepada penahanan dua lelaki selain penemuan syabu seberat 72 gram, heroin (59 gram), pil kuda (5 gram), ganja (57 gram) serta 10 paket plastik disyaki mengandungi kafein.

“Seorang perempuan berusia 18 tahun kemudiannya ditahan di rumah kedua di lokasi sama.

“Pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan tiga paket plastik disyaki mengandungi syabu seberat kira-kira 75 gram dan satu paket disyaki heroin seberat 10 gram,” katanya.

**media[3651637]**

Ab Rahaman berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber pistol yang dipercayai dimiliki dua suspek lelaki berkenaan.

Menurutnya, senjata api itu turut menjalani ujian kebolehfungsian bagi menentukan sama ada boleh digunakan.

Bagaimanapun, setakat ini polis tidak menemukan sebarang rekod menunjukkan pistol berkenaan pernah digunakan dalam aktiviti jenayah.

“Siasatan mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun lalu dengan menjadikan rumah berkenaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati kedua-dua suspek lelaki positif morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman sehingga 21 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved