KUALA LUMPUR – Rumah kongsi dalam kawasan tapak pembinaan yang ditinggalkan musnah terbakar di Jalan Kijang di sini pada Khamis.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.45 pagi sebelum menghantar pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pasukan bantuan dari BBP Jalan Hang Tuah turut digerakkan melibatkan dua jentera, sebuah lori tangki air.
**media[3513076]**
"Seramai 14 anggota dan pegawai bomba tetlibat dalam operasi itu, setibanya pasukan bomba di lokasi didapati kebakaran melibatkan rumah kongsi di dalam kawasan tapak pembinaan yang telah ditinggalkan.
“Anggaran keluasan kebakaran adalah 100 x 100 kaki persegi dan terbakar sepenuhnya. Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran JBPM.






