
SEBERANG PERAI – Dua rumah teres tidak berpenghuni di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam di sini dipercayai dijadikan tempat menyembunyikan rokok dan minuman keras tidak bercukai.
Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menyerbu dua premis tersebut dalam operasi berasingan Ogos lalu dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai berjumlah lebih RM1.58 juta.
Pengarahnya, Hasbollah Din berkata, serbuan pertama pada pukul 12 tengah hari, 14 Ogos lalu di Nibong Tebal menemukan sebanyak 115,340 batang rokok dan 635.52 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM147,567.55 termasuk cukai.
“Barangan itu dipercayai disimpan di dalam kediaman tidak berpenghuni sebelum diedarkan atau dijual dalam pasaran tempatan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan, pemilik dan rangkaian pengedaran barangan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Kastam negeri di sini, hari ini.
Dalam serbuan kedua pada pukul 1 tengah hari, 17 Ogos lalu pula, pihak kastam menjumpai 1,337,520 batang rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan RM1.43 juta. -KOSMO! ONLINE
The post Rumah kosong jadi ‘port’ sorok rokok seludup, arak appeared first on Kosmo Online.






