
MEMBAKUT: Sebuah rumah separa kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Pimping pada Selasa. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu Nelson Ponji, berkata panggilan kecemasan diterima jam 1.23 petang, dan satu pasukan terdiri daripada enam anggota segera dikerahkan bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah lori tangki air. Pasukan itu tiba di lokasi jam 1.54 petang.
Bantuan tambahan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis turut dihantar, melibatkan lapan anggota dan sebuah jentera FRT, menjadikan jumlah keseluruhan anggota bomba seramai 14 orang.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah rumah separa kekal berukuran 40x60 kaki terbakar 80 peratus. Operasi pemadaman dilakukan menggunakan hos sepanjang 200 kaki dengan dua aliran jet dan satu gelung hos, dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba,” katanya.
Pihak bomba turut menggunakan bekalan air dari lori tangki selain daripada jentera FRT.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan, dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya jam 2.32 petang. Anggaran kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan.
Seorang penduduk tempatan, Rusli Ahmad, yang berada di lokasi kejadian, berkata rumah tersebut milik Asiah Chuchu, bekas Pegawai Pentadbiran Jabatan Air Membakut.
“Ini adalah satu lagi ujian di bulan Ramadan, selepas kejadian banjir baru-baru ini. Air banjir masih belum surut sepenuhnya, kini tragedi ini pula menimpa. Saya berdoa agar keluarga Asiah diberikan keselamatan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.


