
Tuaran: Tiga rumah dilaporkan musnah akibat kebakaran dalam kejadian di Skim Penempatan Telipok di sini, Selasa.
Bagaimanapun, kebakaran yang berlaku pada jam 11.35 pagi itu, tiada penghuni dilaporkan cedera atau mengalami kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.42 pagi.
Katanya, seramai 27 anggota dari BBP Kota Kinabalu dengan bantuan BBP Lintas dan BBP Tuaran ke lokasi kejadian beserta dua jentera dan dua kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati tiga rumah jenis tidak kekal musnah 100 peratus manakala akibat kebakaran.
“Api merebak dengan cepat namun semua penghuni di rumah itu sempat keluar menyelamatkan diri dan tiada yang dilaporkan cedera,” katanya dalam kenyataan.
Agustavia menambah, operasi memadam kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.21 tengah hari sebelum merebak ke rumah penduduk lain yang berhampiran.
“Operasi ditamatkan jam 1.13 petang kemudian manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Difahamkan, operasi turut disertai pihak Sabah Electricity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


