KUALA LUMPUR - Sebuah rumah teres dua tingkat di Alam Damai di sini musnah dalam kebakaran pada Ahad, dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan elektrik (EV) yang sedang dicas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 pagi sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
"Seramai 22 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Sungai Besi dan BBP Bandar Tun Razak digerakkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Mukhlis berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat dengan kemusnahan dianggarkan 100 peratus.
"Kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah kenderaan jenis EV yang sedang dicas di ruang hadapan rumah," katanya.
Menurutnya, tiada mangsa cedera dalam kejadian itu dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.41 pagi.



![[VIDEO] Hutan terbakar, asap tebal selubungi sekitar bangunan JAIS](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-17-at-6.05.09-PM-1024x688.jpeg)

