Warga emas kudung merangkak cari perlindungan

17 Aug 2026 • 8:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warga emas kudung merangkak cari perlindungan

PETALING JAYA – Seorang warga emas lelaki berusia 70-an terpaksa merangkak mencari perlindungan selepas melarikan diri dari sebuah rumah kebajikan swasta di Pulau Pinang sebelum ditemukan orang awam di Kelantan.

Kisah menyayat hati itu dikongsikan aktivis masyarakat, Abbe Hae menerusi hantaran di Facebook selepas dia dihubungi pihak Hospital Pasir Puteh berhubung keadaan warga emas berkenaan.

Menurutnya, lelaki dikenali sebagai Uncle (pak cik) Hock itu berasal dari Kampung Raja, Besut, Terengganu dan menetap di Kota Bharu sejak awal 1980-an sebelum bekerja di Pulau Pinang ketika masih sihat.

“Uncle Hock tidak pernah berkahwin. Selepas menghidap kencing manis, sebelah kakinya terpaksa dipotong ketika berada di Pulau Pinang.

“Selepas sembuh, dia ditempatkan di sebuah rumah kebajikan swasta di Pulau Pinang, namun tidak tahan dengan keadaan di situ sebelum melarikan diri walaupun hanya mempunyai sebelah kaki,” katanya.

Menurut Abbe Hae, warga emas itu mendakwa wang simpanannya diambil pihak rumah kebajikan berkenaan selain mendakwa pernah disakiti ketika berada di situ.

Katanya, Uncle Hock kemudiannya merangkak mencari tempat selamat sebelum dibantu seorang lelaki warga asing yang memberikan wang RM100 untuk membolehkannya pulang ke Kota Bharu.

“Dia menaiki bas dari Pulau Pinang ke Kota Bharu. Apabila sampai, wangnya hanya berbaki sedikit dan dia tidak tahu mahu bermalam di mana.

“Dia sekali lagi merangkak mencari tempat perlindungan dalam keadaan kesakitan sebelum ditemukan orang awam dan dihantar ke Hospital Kota Bharu,” katanya.

Tambahnya, selepas beberapa hari menerima rawatan di Hospital Kota Bharu, Uncle Hock dipindahkan ke Hospital Pasir Puteh dan telah berada di hospital berkenaan selama kira-kira tiga bulan.

Menurutnya, keadaan warga emas itu kini sudah stabil, namun masih memerlukan tempat tinggal dan penjagaan kerana tidak lagi mampu bekerja selepas kehilangan sebelah kaki.

“Pihak hospital bercadang membantu menyewakan bilik untuknya, tetapi persoalannya siapa yang akan menjaganya. Cadangan untuk menghantarnya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula tidak dapat dilakukan kerana pusat jagaan sentiasa penuh,” katanya.

Abbe Hae berkata, pihak hospital kemudian menghubunginya sebelum dia berjaya mendapatkan penempatan untuk Uncle Hock di Aira Medicare, sebuah pusat jagaan warga emas berbayar.

“Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan untuk menempatkan warga emas ini di tempat yang selesa dan dijaga dengan baik.

“Tengok Uncle Hock dah (sudah) senyum. Terima kasih kepada semua petugas Hospital Pasir Puteh kerana menjaga dan merawat Uncle Hock dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Warga emas kudung merangkak cari perlindungan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved