
SHAH ALAM, 17 OGOS: Kebakaran hutan di kawasan bukit berhampiran Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14 di sini, membabitkan kawasan seluas hampir tujuh ekar atau 2.83 hektar, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi empat minit kemudian.
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor, kebakaran hanya melibatkan kawasan hutan dan tidak membabitkan sebarang struktur binaan atau mangsa.
Setakat laporan dikeluarkan, kira-kira 60 peratus daripada kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan, manakala operasi memadam kebakaran masih diteruskan.
“Kerja pemadaman dilaksanakan menggunakan fire beater dan pam air daripada jentera,” menurut kenyataan itu.
Seramai 10 anggota BBP Shah Alam digerakkan dalam operasi berkenaan dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Terdahulu, gambar dan video kebakaran hutan berkenaan turut tular di media sosial, memaparkan kepulan asap tebal yang dapat dilihat dari sekitar Shah Alam.





![[VIDEO] Hutan terbakar, asap tebal selubungi sekitar bangunan JAIS](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-17-at-6.05.09-PM-1024x688.jpeg)
