
KUALA LUMPUR: Hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan Taiwan diteruskan seperti biasa tanpa sekatan meskipun satu mesyuarat kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak ditangguhkan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia dan Taiwan masih berhubung secara berkala melalui pejabat perwakilan serta mekanisme kerjasama ekonomi sedia ada.
Katanya, aktiviti perdagangan dua hala termasuk eksport dan import tidak terjejas, manakala perbincangan mengenai pelaburan turut diteruskan.
“Malaysia sudah lama berhubung dengan Taiwan. Kita menghormati Dasar Satu China sejak 1974, namun perdagangan dengan Taiwan diteruskan seperti biasa.
“Tiada masalah dari segi perdagangan dan pelaburan Taiwan di Malaysia setakat ini,” katanya kepada media selepas melancarkan aplikasi mudah alih Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputera (SPSKB) Versi 3.0, di sini, hari ini.
Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan selaras dengan Dasar Satu China.
Bagaimanapun, hubungan ekonomi dan perdagangan dikendalikan melalui saluran perwakilan, termasuk Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei serta Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Kuala Lumpur.
Mengulas laporan bahawa Taiwan menangguhkan rundingan pelaburan dengan Malaysia, Johari berkata perkara itu tidak bermakna keseluruhan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak dihentikan.
Katanya, kedua-dua pihak masih menunjukkan kesediaan untuk meneruskan perbincangan.
Malaysia dan Taiwan turut mempunyai perjanjian promosi dan perlindungan pelaburan yang ditandatangani pada 18 Februari 1993.
“Mereka menyatakan kesediaan untuk berunding dan kita juga mempunyai pendirian sama. Selagi saya berada di sini, saya akan terus menyokong usaha berkenaan,” katanya.
Taiwan sebelum ini mengesahkan rundingan pelaburan yang dijadualkan pada penghujung Oktober lalu ditangguhkan susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai Taiwan dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu.
Jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira aspek kedaulatan, keselamatan ekonomi serta perlindungan hak dan kepentingan pelabur Taiwan.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Anwar sebagai tidak mesra dan berpotensi menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia.
Bagaimanapun, Taiwan menyatakan kesediaan untuk terus berkomunikasi dengan Malaysia dan berharap keadaan sesuai dapat diwujudkan bagi menyambung semula rundingan.
Anwar ketika menjawab isu itu di Dewan Rakyat hari ini menegaskan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-Taiwan tidak terjejas.
Beliau menjelaskan mesyuarat yang ditangguhkan membabitkan Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan (MTECC), bukannya keseluruhan hubungan perdagangan dan pelaburan.
Kerajaan, katanya, sudah meminta supaya mesyuarat MTECC dijadualkan semula.
MTECC ditubuhkan atas inisiatif Malaysia pada 2016 sebagai platform kerjasama ekonomi antara kedua-dua pihak. Mekanisme lain termasuk Jawatankuasa Kerja Perdagangan dan Jawatankuasa Kerja Pelaburan.
Bagi tempoh Januari hingga September 2026, nilai perdagangan Malaysia dengan Taiwan melonjak 47.1 peratus kepada RM254.21 bilion.
Eksport Malaysia ke Taiwan meningkat 88 peratus kepada RM116.58 bilion, manakala import naik 24.2 peratus kepada RM137.63 bilion.
Sehingga Jun 2026, sebanyak 1,737 projek pembuatan dengan penyertaan pelabur Taiwan dilaksanakan di Malaysia membabitkan pelaburan RM34.3 bilion.
Projek berkenaan mewujudkan 234,660 peluang pekerjaan, sekali gus meletakkan Taiwan sebagai pelabur ke-10 terbesar Malaysia.
Anwar berkata, kerajaan akan terus mengalu-alukan dan memudah cara pelaburan Taiwan, khususnya dalam sektor semikonduktor, cip, kecerdasan buatan serta elektrik dan elektronik.
Kerajaan setakat ini tidak menerima laporan mengenai syarikat Taiwan menghentikan operasi atau menarik balik pelaburan dari Malaysia.
The post Rundingan perdagangan, pelaburan Taiwan diteruskan appeared first on Utusan Malaysia.






