Taiwan sahkan gantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataan ‘Satu China’ Anwar

11 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Taiwan sahkan gantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataan ‘Satu China’ Anwar Image from: Taiwan sahkan gantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataan ‘Satu China’ Anwar johardy11/11/2026 - 08:00 Gambar bandar raya Taipei di Taiwan oleh Winston Chen Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Taiwan menggantung rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pulau itu merupakan sebahagian daripada China, lapor Taipei Times yang memetik Kementerian Luar Taiwan.

 

Jurucakap kementerian itu, Hsiao Kuang-wei berkata, penggantungan tersebut bertujuan melindungi kedaulatan Taiwan, keselamatan ekonomi dan hak pelabur Taiwan.

 

Pada sidang media di Taipei pada 10 November, beliau berkata, pihaknya terus berkomunikasi dengan Kuala Lumpur dan berharap Malaysia mengiktiraf kepentingan hubungan pelaburan serta kepercayaan bersama yang terjalin sekian lama bagi membolehkan rundingan disambung semula.

 

Pengesahan itu menyusuli laporan Nikkei Asia pada 9 November bahawa Taiwan menangguhkan rundingan bagi memperluas perdagangan dua hala dengan Malaysia yang pada asalnya dijadualkan pada akhir Oktober, menurut Taipei Times.

 

Dalam wawancara dengan Al Jazeera pada Ogos, Anwar berkata, beliau menganggap Taiwan sebagai “sebahagian daripada China, noktah”, sambil menambah bahawa pendirian itu “diterima semua pihak”.

 

Apabila ditanya sama ada beliau akan mengecam China sekiranya menggunakan kekerasan untuk menguasai Taiwan, Anwar membuat perbandingan dengan kemungkinan sebuah negeri di Malaysia cuba berpisah, dengan menyatakan beliau akan menggunakan kekerasan bagi mempertahankan perpaduan negara.

 

Pelabur semikonduktor suarakan kebimbangan

Kementerian Luar Taiwan mengkritik kenyataan itu ketika ia dibuat, dengan mendakwa Anwar menggambarkan Taiwan sebagai wilayah China yang mahu memisahkan diri serta mewajarkan pendirian Beijing untuk menguasai pulau tersebut melalui kekerasan, lapor Taipei Times.

 

Kementerian itu turut memberi amaran bahawa kenyataan berkenaan boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan yang mempertimbangkan pelaburan di Malaysia.

 

Wakil industri yang dipetik Nikkei Asia menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan ketidaktentuan politik memberi kesan terhadap pelaburan semikonduktor, menurut akhbar tersebut.

 

 

 

 

 

Banyak syarikat teknologi Taiwan telah mengembangkan operasi mereka di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut laporan itu.

 

Hsiao menegaskan pada 10 November bahawa kementerian tersebut sebelum ini telah menyampaikan kebimbangannya berhubung kenyataan Anwar.

 

Beliau berkata, Taipei berharap komunikasi berterusan dengan Kuala Lumpur dapat membuka ruang untuk rundingan pelaburan itu disambung semula. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved