
KUALA LUMPUR: Hubungan ekonomi antara Malaysia dan Taiwan kekal baik, malah prestasi perdagangan antara kedua-dua pihak terus mencatatkan peningkatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Taiwan kekal sebagai rakan dagang penting Malaysia dan kerajaan komited mengekalkan hubungan baik antara Malaysia-Taiwan; tanpa mengubah pendirian dasar luar negara.
“Untuk Januari, September 2026, eksport ke Taiwan, RM116.58 bilion ringgit. Berapa import? RM137.67 bilion. Maknanya eksport kita itu meningkat 88 peratus, import 24.2 peratus. Jadi jumlah perdagangan itu besar RM254.21 bilion,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) meminta Perdana Menteri sama ada kerajaan dapat mengesahkan laporan berita bertajuk ‘Taiwan Sahkan Gantung Rundingan Pelaburan dengan Malaysia’ susulan kenyataan yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.
Mohd. Suhaimi turut meminta menteri menjelaskan implikasi keputusan tersebut terhadap hubungan perdagangan dua hala dan aliran pelaburan sedia ada antara Malaysia dan Taiwan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut memberi contoh di Kedah, Perdana Menteri berkata, pelaburan Taiwan itu mencecah hampir RM1 bilion.
“Jadi bagi saya, keadaan semasa pelaburan dan operasi, saya cakap Taiwan, sehingga kini kita semak dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) semalam, masih tidak ada permasalahan. Ada pelaburan baru, ada rundingan diteruskan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, katanya lagi, Malaysia mengambil inisiatif mengekalkan keseimbangan antara prinsip dasar luar dengan kepentingan perdagangan dan pelaburan negara.
Jelasnya, perkara itu juga terpakai dalam hubungan Malaysia dengan Taiwan menerusi pendirian Dasar Satu China, yang kekal menjadi dasar negara sejak 1974.
“Kita sebagai negara merdeka dan berdaulat adakala pendirian bebas kita itu tidak menyenangkan semua negara. Pendirian kita jelas terhadap israel tidak menyenangkan beberapa negara termasuk amerika syarikat. Dan kita masih berdagang dan menerima pelaburan dari Amerika Syarikat, kita pertama tertinggi.
“Yang pertama, tertinggi tetapi oleh kerana kita bimbang perdagangan di Amerika Syarikat, tak mungkin kita akan berdiam dalam soal Palestine dan Gaza. Sama juga tentang beberapa dasar lain seperti Myanmar.
“Walaupun hubungan kita mula baik untuk membolehkan pelarian itu dibawa pulang sebahagiannya. Tetapi pendirian kita tentang apa jenis yang dilakukan atas masyarakat, itu tidak berubah. Begitu juga sekarang dalam soal One China Policy Kita jaga hubungan supaya jangan terjejas pelaburan,” katanya. – UTUSAN
The post Taiwan kekal rakan dagang penting Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






