‘Rupa paras cantik bukan segalanya’, lelaki terkejut tengok keadaan rumah sewa pelajar perempuan

29 May 2025 • 3:17 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kadang-kadang rupa paras boleh mengaburi mata, tapi kebersihan dan tanggungjawab seseorang itulah yang mencerminkan siapa diri mereka sebenar.

Niat di hati ingin membantu kakak membaiki singki rumah sewa sambil ‘mencuci mata’ tetapi pengalaman yang dilalui oleh seorang lelaki ini menjadi sesuatu yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

Shahrul, dalam perkongsian beliau di Facebook menceritakan bagaimana kakaknya memintanya untuk membaiki singki tersumbat di sebuah rumah sewa yang dihuni oleh sekumpulan pelajar perempuan.

Tambah mengujakan, kakaknya sempat bergurau bahawa penyewa rumah itu semuanya cantik-cantik mengalahkan selebriti terkenal.

Teruja dengan kemungkinan bertemu jodoh, Shahrul bersetuju dan turut mengajak kakaknya menemani kerana bimbang timbul salah faham jika datang seorang diri. Namun, sebaik tiba di rumah tersebut segala tanggapannya berubah.

Sebelum sempat melangkah masuk, mereka ternampak tisu dan kapas muka yang dibuang melalui tingkap. Bau kurang menyenangkan menyambut kehadiran mereka di muka pintu, manakala lantai dapur pula licin dan berminyak sehingga hampir menyebabkan Shahrul tergelincir.

Dapur berada dalam keadaan tidak terurus, makanan basi dibiarkan terbuka dan lebih mengejutkan, sarang lipas turut ditemui bertelur di bawah singki.

Dalam keadaan yang menjijikkan itu, Shahrul terpaksa membaiki singki tersebut. Keadaan dalaman rumah sangat bertentangan dengan bayangan awal tentang wujudnya ‘bidadari’ di kediaman itu.

Tidak beberapa lama kemudian, para penghuninya pulang. Penampilan mereka yang kemas dan bergaya ternyata tidak mencerminkan keadaan rumah yang kotor.

Bukan itu sahaja, beberapa perabot termasuk almari didapati rosak, katil dan juga tingkap pecah. Hilang kesabaran melihat keadaan rumah itu, pemilik rumah mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak sewaan mereka.

“Adik-adik cantik semua, adik Akak ni dah siapkan singki tu. Tapi Akak nak mintak korang kemas barang dan esok berambus, Akak dah tak nak tengok muka korang kat rumah ni”

Terkejut dengan kata-kata itu, mereka cuba merayu, namun tidak diendahkan oleh pemilik yang kecewa dengan tindakan mereka yang merosakkan asetnya.

Shahrul yang pada awalnya berharap dapat berkenalan dengan seseorang yang istimewa, akhirnya pulang dengan perasaan kecewa dan hampa. Sejak dari hari itu, pandangannya terhadap wanita yang menjaga penampilan berubah sepenuhnya.

Kini, Shahrul sudah berkahwin dengan seorang wanita yang biasa-biasa sahaja dari segi rupa tetapi memiliki sikap rajin, pembersih dan sederhana. Menurut Shahrul, ciri ciri itu jauh lebih penting dari paras rupa.

Shahrul turut berkongsi pesanan kepada orang ramai agar tidak menilai seseorang berdasarkan rupa semata-mata. Adalah penting untuk mengenal latar belakang, keluarga dan cara seseorang itu mengurus kehidupannya sebelum dijadikan sebagai pasangan hidup.