
Rupanya Ini Sebab Dah Pecut Tapi "ETA" Tak Banyak Berubah
Dalam kehidupan harian, ramai bergantung pada aplikasi navigasi untuk merancang perjalanan dengan lebih tepat.
Salah satu fungsi penting ialah anggaran masa ketibaan (ETA) yang membantu pengguna tahu bila akan sampai ke destinasi.
Namun, ada kalanya walaupun sudah memandu laju, perubahan pada ETA kelihatan sangat sedikit.
Rupanya, ada sebab di sebalik kejadian 'pelik' ini.
Seorang warga Thread, @abe.had tampil bagi menjelaskan situasi yang sering dihadapi pengguna aplikasi navigasi, khususnya Waze.
Menurut lelaki berkenaan, aplikasi ini mempunyai satu sistem Matematik yang dipanggil purata segmen berasaskan ramalan (Predictive Segment Averaging).
"Dia tak tengok jalan tu sebagai satu garisan panjang.
"Sebaliknya, sistem Waze dah potong atau kerat jalan raya tu kepada beribu-ribu blok kecil iaitu segmen. Setiap blok ni ada halaju purata yang tersendiri," jelasnya.

Bagi memudahkan pembaca faham, lelaki berkenaan memberikan contoh seorang individu sedang memandu di Blok A dengan pecutan.
Bagaimanapun, sistem Waze lebih awal dapat meramalkan kelajuan berkenaan tidak memberikan kesan kepada ETA. Hal ini berikutan di Blok B, pemandu berkenaan terpaksa memperlahankan kenderaan berikutan kewujudan simpang, selekoh atau lampu isyarat.
Jelasnya, aplikasi tersebut telah mengumpul data daripada sebilangan besar kenderaan yang pernah melalui jalan berkenaan pada waktu dan hari yang sama.
"Dia siap campur dengan data langsung kereta kat depan korang lagi. Dia dah ramal aliran trafik depan tu dengan tepat.
"Korang tekan la minyak sampai tembus lantai pun, korang akan kalah dengan data sejarah Waze ni," maklumnya.

Menutup perkongsiannya, lelaki itu sempat menitip pesan kepada pemandu agar berhati-hati di jalan raya.
"Minyak habis, risiko kemalangan pula yang tinggi," titipnya.
Di ruangan komen, ramai pengguna yang berkongsi pengalaman masing-masing memandu dengan menggunakan khidmat aplikasi ini.
"Pengalaman saya, jika tiada kesesakan luar biasa atau kemalangan yang menghalang jalan, bagi setiap 100 kilometer perjalanan, saya boleh turunkan anggaran Waze sebanyak empat hingga lima minit. Itu jalan persekutuan atau negeri. Jika lebuhraya pula, agar sukar untuk turunkan anggaran Waze. Kena pecut melebihi 130 kilometer perjam. Tak berbaloi dengan penggunaan minyak," kongsi seorang warga maya.
"Jalan tikus je boleh kalahkan Waze. Dapat tengok dia potong ETA dah rasa satu kemenangan," seloroh seorang lagi.

