Russia komited perkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam pendidikan, perubatan

2 Nov 2026 • 3:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Russia komited perkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam pendidikan, perubatan

BUKIT MERTAJAM : Kerajaan Russia komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia khususnya dalam bidang pendidikan serta pengajian perubatan.

Duta Besar Russia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, untuk itu, pihaknya akan mencadangkan agar jumlah biasiswa yang diberikan kepada rakyat negara ini dinaikkan kepada 60 bermula tahun depan sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Russia.

“Bermula tahun depan juga, kerajaan Rusia akan memperuntukkan sebanyak 4,000 biasiswa untuk ditawarkan kepada pelajar antarabangsa termasuk Malaysia menerusi satu program pemilihan khas.

“Mana-mana pelajar yang berjaya dalam program ini pula akan ditawarkan peluang untuk melanjutkan pengajian mereka selama lima hingga enam tahun di Russia,” katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini, hari ini.

Hadir sama Konsul Kehormat Russia di Pulau Pinang, Datuk Dr. Teoh Seng Lee; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Zulhizzam Abdullah serta Pengarah HBM, Dr. S. Prashant.

Sementara itu, Latypov memberitahu, ketika ini, kira-kira 7,000 doktor Malaysia merupakan graduan dari universiti perubatan di Russia dan golongan tersebut menjadi penghubung penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Saya dimaklumkan, di Pulau Pinang sahaja, terdapat seramai 76 pakar dan pegawai perubatan yang berkhidmat di enam hospital kerajaan negeri merupakan graduan dalam bidang perubatan dari universiti di Russia.

“Jumlah itu termasuk lapan doktor dari hospital ini (HBM) yang memperoleh kelayakan perubatan dari negara kami (Russia),” katanya yang turut mencadangkan agar alumni universiti Russia ditubuhkan di Malaysia.

Sementara itu, Dr. Prashant yang juga merupakan lulusan institusi perubatan terkemuka Russia, I.M. Sechenov Moscow Medical Academy berkata, HBM amat berbesar hati kerana menerima lawatan daripada wakil kerajaan Russia itu.

Katanya, lawatan berkenaan dianggap sebagai satu penghormatan kepada hospital berusia 136 tahun itu selepas berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak dua tahun yang lalu.-UTUSAN

The post Russia komited perkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam pendidikan, perubatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved