Rutin bercerita sebelum tidur pupuk minat membaca kanak-kanak, kembang imaginasi

Family & ParentingLifestyle
29 Aug 2026 • 8:10 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Rutin bercerita sebelum tidur pupuk minat membaca kanak-kanak, kembang imaginasi

SHAH ALAM, 29 OGOS: Amalan bercerita sebelum tidur mampu membantu mengembangkan imaginasi kanak-kanak selain memupuk minat membaca sejak usia kecil.

Seorang ibu, Ellyz Alaidin, 37, berkata beliau mengamalkan rutin berkenaan bersama anak-anak sejak kecil dengan memilih bahan bacaan bersesuaian mengikut usia.

Menurutnya, anak-anak turut diberi kebebasan memilih buku yang mahu dibacakan sebelum tidur dengan lebih 10 buku dibaca dalam tempoh sebulan.

“Waktu bercerita bersama anak sangat penting sebagai masa untuk mengeratkan hubungan walaupun hanya seketika. Ibu bapa perlu mulakan rutin ini dan menyediakan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak.

Image from: Rutin bercerita sebelum tidur pupuk minat membaca kanak-kanak, kembang imaginasi
Ellyz Alaidin 37, ditemui ketika Majlis Perasmian Festival Sastera Kanak-Kanak Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 28 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Cara penyampaian juga penting dengan menggunakan teknik dan intonasi yang menarik supaya anak-anak lebih tertarik mengikuti cerita,” katanya kepada Media Selangor.

Ellyz berkata beliau turut menyediakan ruang khas di rumah untuk menyimpan buku bagi menggalakkan anak-anak membaca serta mengisi masa dengan aktiviti berfaedah.

Turut berkongsi pengalaman sama, Fazrina Suhara Yaacob, 44, berkata rutin bercerita selama 15 hingga 30 minit sebelum tidur penting bukan sahaja untuk menggalakkan amalan membaca, malah mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

Beliau berkata buku seperti cerita rakyat dan kisah teladan sering dibacakan kepada anak-anak, dengan kira-kira lima hingga enam buku dibaca setiap bulan.

“Intonasi dan mimik muka ketika bercerita sangat penting untuk menarik perhatian anak-anak serta menjadikan sebuah cerita itu lebih menarik.

Image from: Rutin bercerita sebelum tidur pupuk minat membaca kanak-kanak, kembang imaginasi
Fazrina Suhara Yaacob ditemui media ketika Majlis Perasmian Festival Sastera Kanak-Kanak Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 28 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Selain itu, saya juga menyediakan perpustakaan mini di rumah kerana ketika kecil, saya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan buku ketika itu agak mahal,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Fazrina menggalakkan ibu bapa meluangkan masa bersama anak sebelum tidur dengan membacakan buku bagi merangsang perkembangan minda, selain tidak terlalu bergantung kepada gajet sebagai hiburan anak-anak.

Festival Sastera Kanak-Kanak Selangor (FSKS) 2026 berlangsung selama empat hari mulai 28 Ogos di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) dan Aneka Walk Shah Alam, dengan pelbagai aktiviti berkaitan buku, sastera dan kreativiti kanak-kanak.

Bertemakan ‘Meraikan Setiap Cerita Kanak-Kanak’, festival berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi memperkukuh budaya membaca serta meningkatkan literasi kanak-kanak.

Image from: Rutin bercerita sebelum tidur pupuk minat membaca kanak-kanak, kembang imaginasi
Suasana Festival Sastera Kanak-Kanak Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 28 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved