Pelajar tajaan Mara bawa 'dua bendera' ke luar negara

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 7:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar tajaan Mara bawa 'dua bendera' ke luar negara
Zulfikri ketika segmen 'The Essence of Leadership' Program Pra-Pelepasan Pelajar Tajaan Mara ke Luar Negara Perdana 2026 sesi petang bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Pendidikan yang dibangunkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak sepatutnya dilihat sebagai laluan untuk memperoleh kelayakan akademik semata-mata.

Sebaliknya, ia mesti menjadi wadah untuk membina insan yang mempunyai karakter, keyakinan dan keupayaan memimpin dengan nilai serta tujuan.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Zulfikri Osman berkata, anak-anak Mara perlu melihat diri mereka sebagai generasi yang bakal mewarisi legasi kepimpinan negara dalam pelbagai bidang.

Beliau turut mengingatkan 600 pelajar tajaan Mara terpilih untuk tidak mengsia-siakan pelaburan agensi tersebut, sentiasa menjaga nama baik Malaysia dan pulang sebagai aset yang boleh menyumbang bakti dalam negara.

“Pemimpin hebat tidak lahir hanya kerana memiliki keputusan akademik yang cemerlang.

"Kepimpinan dibentuk melalui pengalaman, keberanian mengambil tanggungjawab, keupayaan memahami orang lain dan kesediaan untuk terus belajar.

"Kamu semua membawa dua bendera iaitu bendera Malaysia dan bendera Mara maksudnya kalian diplomat atau duta mewakili negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika segmen 'The Essence of Leadership' Program Pra-Pelepasan Pelajar Tajaan Mara ke Luar Negara Perdana 2026 sesi petang bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Pengarah Bahagian Penganjuran Pelajaran Mara, Dr Ahmad Sabri Kassim; Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Shahrizal Mohd Saderi serta barisan pengurusan Mara.

Menurut Zulfikri, pendedahan di luar negara pula perlu dimanfaatkan sebaiknya sebagai ruang untuk memperluaskan pandangan, membina jaringan antarabangsa dan memahami budaya serta perkembangan dunia dari perspektif yang lebih terbuka.

"Apabila menghantar anak-anak Mara ke luar negara, kita bukan sekadar menghantar mereka untuk mendapatkan segulung ijazah.

"Tetapi, kita juga menghantar mereka untuk melihat dunia dan belajar daripada masyarakat yang berbeza.

"Selain itu, kemampuan mereka mengasah dan meningkatkan daya fikir kelas pertama serta berani membuat perubahan pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved