MARA perhalusi SOP "outing" susulan kes pelajar MRSM hilang - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MARA perhalusi SOP "outing" susulan kes pelajar MRSM hilang - Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi bergambar bersama para penerima tajaan pada Program Pra-Pelepasan Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026, pada Rabu. Bernama

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan pelajar bagi aktiviti "outing” susulan kes dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dilaporkan hilang baru-baru ini.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kes kehilangan dua pelajar tingkatan empat MRSM Alor Gajah, Melaka pada 11 Ogos lepas merupakan kes terpencil dan ia tidak sewajarnya dijadikan asas untuk mewujudkan peraturan yang boleh menjejaskan aktiviti serta program di MRSM.

"Sepatutnya perkara ini kes terpencil yang bagi saya tidak boleh kita jadikan satu (perkara) konklusif untuk kita membuat satu peraturan yang akhirnya merencatkan segala aktiviti dan program yang selama ini berjalan dengan baik di MRSM.

"Pelajar ini pun perlukan proses pematangan. Dari dulu lagi, ini bukan benda baharu, pelajar memang boleh keluar ke bandar…katakan dalam sebulan sekali atau pun dua kali mengikut syarat tertentu dan mereka keluar pun tidak akan ditemani guru,” katanya kepada media selepas Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada polis dan institusi berkenaan menjalankan siasatan lanjut, mengambil kira seorang daripada dua pelajar terbabit mengalami serangan panik dan memerlukan masa untuk bertenang.

"Belum lagi (dapat dikongsikan hasil siasatan) sebab Isnin lepas mereka diminta hadir untuk disoal siasat oleh pihak polis Alor Gajah bagi mendapatkan maklumat sebenar.

"Kita bagi ruang sikit sebab seorang daripada (pelajar perempuan terbabit) bila kita jumpa, dia macam 'panic attack' atau 'shock'...sebab itu kita hantar ke hospital," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dua pelajar MRSM Alor Gajah, Siti Nur Aaira Aidi, 16, dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, 16, dilaporkan hilang pada 11 Ogos lepas selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan sebelum ditemukan di sekitar Pasar Seni di sini empat hari kemudian. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved