RUU Entiti Milik Kerajaan perketat tadbir urus, cegah salah guna kuasa - Anwar

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 11:33 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RUU Entiti Milik Kerajaan perketat tadbir urus, cegah salah guna kuasa - Anwar
Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Selasa. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi berkaitan bagi mengelakkan penyelewengan seperti pernah berlaku melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda dan Tabung Haji.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu bertujuan mewujudkan peruntukan undang-undang dan peraturan lebih jelas bagi memastikan setiap entiti milik kerajaan, termasuk syarikat subsidiarinya, tertakluk kepada mekanisme kawal selia yang berkesan.

Beliau berkata, pengalaman lalu menunjukkan terdapat kelemahan dan pelanggaran serius dalam pengurusan beberapa institusi kerajaan seperti yang didedahkan menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), pasukan petugas khas serta kertas putih berkaitan.

"Cadangan kita untuk bentangkan RUU itu bukan sahaja (perkukuh) dari segi tatakelola tapi memperuntukkan dalam peraturan dan undang-undang yang sangat jelas untuk mengawal selia.

"Sebab itu saya rasa RUU itu menetapkan kaedah yang ketat…walaupun GLC, soal tadbir urus mesti diperketatkan. Hak-hak kuasa dan tokoh-tokoh yang diletakkan itu mesti lebih bertanggungjawab, tidak menjadikan ini sebagai hak milik peribadi dan keluarga,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. 

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah memperkukuh tadbir urus korporat GLC dan badan berkanun bagi mengelakkan berulangnya episod penyelewengan melibatkan institusi kerajaan.

Perdana Menteri berkata, antara kelemahan perlu ditangani ialah pengawasan terhadap syarikat subsidiari yang tidak semestinya tertakluk kepada kawalan sama seperti agensi induk, sekali gus memerlukan ketetapan undang-undang lebih jelas.

Beliau berkata, usaha memperkukuh tadbir urus turut berdepan tentangan kelompok berkepentingan, termasuk elit politik dan usahawan yang sudah terbiasa dengan amalan terdahulu.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan melarang sama sekali campur tangan tokoh politik dalam menentukan projek dan keutamaan pelaburan GLC serta GLIC, sebaliknya keputusan pelaburan perlu dibuat oleh badan pelaburan dianggotai golongan profesional serta individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat secara teliti dan berhemah, khususnya mengambil kira pengalaman kelemahan tadbir urus yang pernah berlaku sebelum ini. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved