
PETALING JAYA: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan akan menetapkan peraturan lebih ketat bagi memastikan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diurus mengikut tatakelola dan berintegriti tanpa sebarang ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengalaman lalu melalui pelbagai pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Kertas Putih membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membuktikan wujudnya kelemahan ketara berkaitannya.
Katanya, oleh itu langkah pembaharuan perlu diperkukuh mengikut kerangka perundangan dan peraturan yang jelas untuk menutup ruang salah guna kuasa.
“Pengalaman lalu menunjukkan wujud kekuatan dan kelemahan. Malah, laporan RCI serta Kertas Putih merekodkan pelbagai bentuk pelanggaran yang amat keterlaluan dan sukar dipertahankan.
“Oleh itu, langkah segera perlu diambil. Kita memerlukan garis panduan, peraturan dan undang-undang yang sangat jelas bagi menyekat campur tangan serta memastikan agensi mahupun syarikat terlibat dipantau rapi.
“Tanpa ketetapan yang tegas, kita berdepan kesukaran mengenal pasti sebarang pelanggaran yang berlaku lebih awal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berhubung langkah yang diambil diambil kerajaan bagi menambah baik tadbir urus korporat supaya isu sebagaimana TH dan 1MDB tidak berulang lagi.
Dalam pada itu, Anwar mengecam tindakan segelintir kelompok elit yang terbiasa dengan budaya salah guna kuasa.
“Kelompok elit ini kadangkala sudah terbiasa dengan budaya tersebut. Di luar bercakap soal prinsip, namun apabila melibatkan kepentingan mereka, timbul pelbagai alasan dan pertikaian.
“Sebab itu RUU Entiti Milik Kerajaan ini penting untuk menetapkan kaedah ketat terhadap GLIC dan GLC.
“Had kuasa perlu diperincikan dan tokoh-tokoh yang diberi amanah memimpin mesti memikul tanggungjawab penuh, bukan menganggap syarikat berkenaan sebagai milik peribadi atau keluarga,” tegasnya.
Sementara itu, Anwar berkata, setakat ini tiada pelanggaran tatekolola sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini dalam entiti GLIC dan GLC. – UTUSAN
The post RUU Entiti Milik Kerajaan tetapkan peraturan ketat, elak ketirisan GLIC, GLC appeared first on Utusan Malaysia.






