Cadang RUU khusus kawal entiti milik kerajaan elak skandal berulang

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 12:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Cadang RUU khusus kawal entiti milik kerajaan elak skandal berulang

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang memperkenalkan rang undang-undang (RUU) khusus bagi memperketat tadbir urus entiti milik kerajaan bagi mengelakkan penyelewengan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Lembaga Tabung Haji berulang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang itu penting bagi memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan badan berkanun diurus secara telus serta tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau keluarga.

Menurut beliau, RUU berkenaan akan memperuntukkan peraturan lebih jelas bagi mengawal selia entiti terbabit, termasuk syarikat subsidiari mereka.

“Apa yang penting ialah langkah segera perlu diambil bagi memperbaiki tatakelola dan tadbir urus dan ini termasuklah cadangan yang boleh kita bentangkan dalam undang-undang entiti milik kerajaan.

“Cadangan kita untuk bentangkan RUU itu bukan sahaja memperkukuh tatakelola tapi memperuntukkan dalam peraturan dan undang-undang yang sangat jelas untuk mengawal selia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, usaha memperkukuh tadbir urus turut berdepan cabaran apabila terdapat kelompok berkepentingan dalam kalangan ahli politik dan usahawan yang masih terbiasa dengan amalan lama.

Justeru, beliau berpandangan undang-undang khusus itu perlu menetapkan kaedah kawal selia yang ketat bagi mengelakkan kompromi terhadap prinsip tadbir urus dan akauntabiliti.

Beliau menegaskan status sebagai entiti milik kerajaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan tanggungjawab, sebaliknya kuasa serta peranan individu yang menguruskan entiti berkenaan perlu ditetapkan dengan lebih jelas.

Katanya, kerajaan berharap langkah itu dapat memastikan pengurusan entiti milik kerajaan lebih bertanggungjawab, sekali gus melindungi kepentingan rakyat dan mengelakkan skandal kewangan daripada berulang.-KOSMO! ONLINE

The post Cadang RUU khusus kawal entiti milik kerajaan elak skandal berulang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved