AuMAS peroleh perintah mahkamah lindungi akses ke kolam rawatan air Bukit Mantri

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 5:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AuMAS peroleh perintah mahkamah lindungi akses ke kolam rawatan air Bukit Mantri Image from: AuMAS peroleh perintah mahkamah lindungi akses ke kolam rawatan air Bukit Mantri johardy12/11/2026 - 17:39 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - AuMAS Resources Berhad memperoleh perintah mahkamah bagi melindungi akses anak syarikatnya ke kolam rawatan air di tapak perlombongan Bukit Mantri, Tawau, Sabah, ketika pertikaian tanah masih berlarutan.

 

Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Tawau membenarkan sebahagian permohonan injunksi interim yang dikemukakan AuMAS dan anak syarikat milik penuhnya, Wullersdorf Resources Sdn. Bhd. (WRSB), terhadap Datuk Lo Fui Ming dan Southsea Gold Sdn. Bhd. (SGSB).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, AuMAS berkata, mahkamah menyampaikan keputusannya pada 3 November lalu, manakala peguam WRSB menerima alasan penghakiman pada 11 November.

 

Mahkamah mendapati terdapat isu serius yang perlu dibicarakan berhubung hak AuMAS dan WRSB menggunakan kolam berkenaan serta tanah bersebelahan, selain mengiktiraf keperluan mengekalkan sistem takungan air susulan laporan mengenai resapan air berasid.

 

Di bawah perintah itu, Datuk Lo dan SGSB dilarang daripada sengaja menimbus, merobohkan atau menghalang kolam berkenaan, selain tidak boleh menghalang kakitangan WRSB dan kontraktor bertauliah daripada mengaksesnya bagi tujuan pemeriksaan, rawatan air dan kerja pembaikan yang diperlukan.

 

WRSB perlu memberikan notis bertulis sekurang-kurangnya 24 jam sebelum menjalankan kerja pembaikan fizikal, kecuali dalam keadaan kecemasan keselamatan yang memerlukan tindakan segera. SGSB dibenarkan memerhatikan kerja berkenaan dan mengambil sampel tanpa menghalang operasi.

 

Injunksi terdahulu diketepikan

Secara berasingan, mahkamah membenarkan permohonan Datuk Lo dan SGSB untuk mengetepikan injunksi ketiga secara ex-parte yang diperoleh AuMAS dan WRSB pada 14 Ogos lalu, yang telah tamat tempoh pada 4 September.

 

Mahkamah memutuskan bahawa injunksi terdahulu itu tidak sepatutnya diberikan berdasarkan terma yang direkodkan, namun tidak membuat sebarang dapatan bahawa AuMAS atau WRSB sengaja mengelirukan mahkamah.

 

AuMAS dan WRSB diperintahkan membayar kos, manakala sebarang tuntutan pampasan memerlukan permohonan berasingan yang disokong bukti.

 

Injunksi pertama dan kedua yang diperoleh AuMAS dan WRSB sebelum ini kekal berkuat kuasa.

 

Operasi perlombongan tidak terjejas

Mahkamah menjelaskan bahawa keputusannya tidak menentukan hak milik tanah yang dipertikaikan, dakwaan pencerobohan, kesalahan alam sekitar, kelulusan perlombongan atau tanggungjawab terhadap sebarang kegagalan kemudahan penyimpanan sisa perlombongan.

 

AuMAS berkata, tiada permohonan untuk siasatan berhubung dakwaan kerugian dikemukakan setakat ini, menyebabkan syarikat belum dapat menilai potensi liabiliti.

 

Syarikat itu berkata, perintah terbaharu berkenaan menjamin akses WRSB ke kolam tersebut bagi tujuan rawatan air dan penyelenggaraan penting, namun tidak membenarkan pembesaran atau pembinaan baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved