RUU Statistik perkasa integrasi data negara

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 4:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RUU Statistik perkasa integrasi data negara
Ketua Perangkawan Malaysia, Siti Asiah Ahmad. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bakal diberi mandat mengintegrasikan data daripada pelbagai sumber di negara ini menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026, sekali gus memperluas kaedah pengumpulan data rasmi melangkaui tinjauan semata-mata.

Ketua Perangkawan Malaysia, Siti Asiah Ahmad berkata, RUU berkenaan dijangka diwartakan pada hujung minggu ini dan dijangka dikuatkuasa Disember depan selepas beberapa perkara berkaitan pengurusan data serta peraturan fi diperincikan.

Menurutnya, pembaharuan itu membolehkan DOSM mengintegrasikan data daripada agensi kerajaan dan sumber lain bagi memperkukuh penghasilan statistik rasmi negara.

“Jadi, Jabatan Perangkaan telah mempunyai mandat untuk membuat integrasi data melalui mana-mana data yang ada di dalam negara ini, baik di peringkat agensi kerajaan atau sumber-sumber lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Statistik Negara 2026 pada Selasa.

Menurutnya, pembaharuan itu merupakan antara perubahan utama yang diperkenalkan menerusi RUU Statistik 2026 bagi memperkukuh peranan jabatan dalam pengurusan data negara.

Ujar Siti Asiah, DOSM bertanggungjawab menyediakan statistik rasmi berkualiti supaya data yang dihasilkan dapat difahami dan dimanfaatkan oleh pengguna dengan lebih berkesan.

Katanya, penggunaan statistik penting bagi memastikan keputusan yang dibuat oleh individu mahupun masyarakat berasaskan bukti, bukan semata-mata pandangan atau andaian.

“Kita sebenarnya ingin supaya semua rakyat Malaysia, ya, rakyat Malaysia tak kiralah dia pengamal atau dia pengguna statistik, dia sentiasa tahu menggunakan statistik apabila dia membuat keputusan, baik untuk diri sendiri ataupun untuk masyarakat secara umumnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Asiah berkata, pembaharuan RUU Statistik itu turut membolehkan institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi kerajaan menggunakan data tanpa perlu memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan DOSM bagi tujuan berkenaan.

Katanya, jabatan telah menetapkan garis panduan pengurusan data bagi menguruskan urusan penggunaan data tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa DOSM dijangka dikenali sebagai Jabatan Statistik Malaysia mulai tahun depan, selaras dengan pembaharuan berkenaan.

Sambutan Hari Statistik Negara disambut pada 20 Oktober setiap tahun susulan keputusan mesyuarat Kabinet pada 2017. Statistik Nadi Kehidupan diangkat sebagai tema sambutan tahun ini.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved