
PETALING JAYA – Sebanyak 69,001 kes penipuan bersemuka direkodkan di negara ini sepanjang tahun lalu.
Menerusi infografik Statistik Jenayah Malaysia 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), data itu menunjukkan penipuan, pemalsuan atau rasuah merupakan antara kategori yang diberi perhatian dalam pengelasan jenayah negara berdasarkan Klasifikasi Jenayah Antarabangsa untuk Tujuan Statistik (ICCS).
Selain penipuan bersemuka, sebanyak 6,522 kes keganasan rumah tangga direkodkan bagi tahun sama sekali gus memperlihatkan perbuatan yang menyebabkan atau bertujuan mendatangkan kemudaratan kepada individu.
Dalam kategori jenayah terhadap harta yang melibatkan keganasan atau ancaman terhadap seseorang, sebanyak 3,108 kes samun direkodkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,010 kes melibatkan individu, manakala 89 kes membabitkan kenderaan dan sembilan kes berlaku di premis atau institusi.
Data yang dikeluarkan DOSM itu turut melaporkan sebanyak 18,477 kes kecurian harta persendirian sepanjang 2025.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16,369 kes melibatkan kecurian terhadap individu, diikuti 1,546 kes dalam kenderaan dan 562 kes oleh pembantu rumah. – KOSMO! ONLINE
The post 69,001 kes tipu bersemuka, 6,522 kes keganasan rumah tangga dilapor pada 2025 appeared first on Kosmo Online.






