
TORONTO: Pilihan kedua, Elena Rybakina terpaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka Kanada selepas bangkit daripada ketinggalan dalam set penentuan untuk menewaskan Liudmila Samsonova, 6-4, 4-6, 6-4, semalam.
Bintang Kazakhstan itu berada di ambang penyingkiran apabila ketinggalan 0-3 selain dua kali kehilangan servis pada set ketiga, namun ketenangannya membolehkan dia memenangi enam daripada tujuh permainan terakhir untuk melengkapkan kebangkitan dramatik.
Rybakina kini bakal berdepan cabaran lebih getir apabila menentang juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka yang terlebih dahulu menyingkirkan wakil tuan rumah, Leylah Fernandez, 6-4, 6-4 dalam tempoh 82 minit.
Sementara itu, pilihan keempat, Coco Gauff tidak berdepan masalah untuk menempah tempat ke kelompok lapan terbaik selepas menundukkan pemain remaja Rusia, Alina Korneeva, 6-3, 6-1 untuk meneruskan kempen tanpa kehilangan satu set.
“Fokus utama saya hari ini ialah cuba menamatkan perlawanan dan mungkin bukan cara pemikiran yang sepatutnya, tetapi ia berhasil hari ini.
“Saya bangga dengan prestasi dalam tiga perlawanan terakhir dan tahu jika perlu bermain hingga penamat, saya sudah bersedia, namun sudah tentu lebih baik jika dapat menamatkannya lebih awal,” kata Gauff.
Bencic pula menempah pertemuan dengan Gauff selepas menundukkan sensasi Filipina, Alexandra Eala, 6-4, 6-0 dalam tempoh 73 minit, sekali gus menamatkan kemaraan pemain berusia 21 tahun itu selepas muncul juara pertamanya di Washington minggu lalu. – AGENSI
The post Rybakina nyaris tersungkur, Gauff mudah mara appeared first on Utusan Malaysia.


