
TORONTO: Pemain tenis No.2 dunia, Elena Rybakina dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tiket ke suku akhir Terbuka Kanada selepas bangkit daripada ketinggalan dalam set penentuan untuk menewaskan Liudmila Samsonova, 6-4, 4-6, 6-4, ini, semalam.
Pemain Kazakhstan itu berdepan detik cemas apabila ketinggalan 0-3 serta dua kali kehilangan servis pada set ketiga, namun berjaya mengubah rentak permainan untuk melengkapkan kebangkitan dan menyingkirkan Samsonova.
Rybakina kini bakal berdepan cabaran juara empat kali Grand Slam, Naomi Osaka pada peringkat suku akhir.
Osaka, pemain ranking ke-13 dunia, terlebih dahulu menyingkirkan wakil tuan rumah, Leylah Fernandez, 6-4, 6-4 dalam tempoh 82 minit.
Sementara itu, pilihan keempat kejohanan, Coco Gauff mara dengan lebih mudah apabila menewaskan pemain kelayakan remaja Rusia, Alina Korneeva, 6-3, 6-1.
Kemenangan itu menyaksikan Gauff melangkah ke suku akhir Terbuka Kanada buat kali pertama sejak 2023 dan menarik perhatian menerusi prestasi konsisten apabila masih belum kehilangan sebarang set sepanjang kejohanan.
“Saya bangga dengan bagaimana tiga perlawanan terakhir berlangsung. Saya tahu jika perlu bermain hingga ke penghujung, saya sudah bersedia, tetapi sudah tentu saya lebih suka menamatkan perlawanan dengan lebih cepat jika mampu,” kata Gauff.
Pemain Amerika Syarikat itu seterusnya akan menentang pemenang antara pilihan ke-12 dari Switzerland, Belinda Bencic dan pemain Filipina yang sedang meningkat naik, Alexandra Eala.
Eala, 21, hadir dengan keyakinan tinggi selepas memenangi gelaran WTA pertamanya di Washington pada minggu lalu.
Dalam aksi menentang Fernandez, Osaka mematahkan servis lawannya pada permainan ketujuh dalam kedua-dua set untuk melengkapkan kemenangan.
“Itu semua berjalan dengan baik untuk saya. Dia mempunyai sikap yang sangat baik, konsisten dan akan terus berjuang. Dia seperti seekor bulldog,” kata Osaka mengenai Fernandez.
Osaka yang bakal bertemu Rybakina buat kali pertama berkata, keyakinan terhadap pukulan dari garisan belakang menjadi antara faktor penting dalam permainannya.
“Apabila saya berasa selesa atau sekurang-kurangnya yakin pada diri sendiri bahawa saya mampu mengejar setiap bola, saya menjadi lebih tenang.
“Saya perlu yakin pada diri sendiri, melaksanakan perkara yang mampu saya lakukan dan pada akhirnya memberikan yang terbaik. Apa sahaja yang berlaku, biarlah berlaku,” katanya. – AFP
The post Rybakina, Osaka buat perhitungan di suku akhir Terbuka Kanada appeared first on Utusan Malaysia.




