S’gor sambar emas kumite berpasukan lelaki

18 Sep 2022 • 7:56 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Berbekalkan keazaman yang tinggi, skuad karate Selangor mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas kumite berpasukan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 selepas menewaskan Wilayah Persekutuan pada final hari ini.

Mata pertama saingan yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, bagaimanapun, menjadi milik Wilayah Persekutuan selepas T. Yuvanraj menumbangkan cabaran K. Thevadharshan sebelum Selangor bangkit menerusi tiga atlet mereka berikutnya.

S. Khavinraj, N. Moganakumar dan M. Gogulnath berjaya menghadiahkan kemenangan kepada Selangor selepas mengatasi lawan masing-masing iaitu atlet kebangsaan G. Kathish, V. Kueggen dan V. Logen sekali gus menyaksikan Wilayah Persekutuan terpaksa berpuas hati dengan perak.

Jurulatih Selangor, S. Prem Kumar, menyifatkan kemenangan tersebut adalah sesuatu yang amat membanggakan terutama apabila salah seorang atletnya berjaya merngalahkan atlet kebangsaan.

“Tidak banyak jurang standard antara atlet kami dengan atlet kebangsaan. Sebenarnya anak buah saya dijemput menyertai skuad negara tetapi disebabkan temasya ini, kami menangguhkan hasrat itu,” katanya kepada Bernama selepas pertandingan itu.

Pingat gangsa menjadi milik Pulau Pinang dan Sabah selepas masing-masing menewaskan Kedah dan Terengganu.

Sementara itu, dalam saingan kumite berpasukan wanita, Sabah mencipta kejutan apabila menang mudah ke atas Selangor dengan keputusan 2-0.

Leong Jia Chii memberikan mata sulung selepas menjuarai pertarungan sengit menentang A. Kayathri sebelum Pressy Misty Philip mengesahkan kejayaan pingat emas dengan menundukkan B. Tanushree.

Bercakap kepada Bernama, Pressy, berkata beliau menganggap kemenangan yang diperoleh pasukannya sebagai menebus kekalahkan beliau yang hanya memperoleh perak dalam acara individu wanita atas 68 kilogram (kg) semalam.

Dalam pada itu, Kedah dan Pulau Pinang masing-masing meraih gangsa selepas menewaskan Terengganu dan Johor.-Bernama