Wipers rangkul emas gimnastik artistik berpasukan wanita

18 Sep 2022 • 7:39 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Skuad gimnastik artistik Wilayah Persekutuan (WiPers) meraih pingat emas acara gimnastik berpasukan wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 hari ini.

Kem gimnastik artistik Wipers mendominasi Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) dengan mengumpul 177.450 mata melalui empat disiplin iaitu batang titian, senaman lantai, palang bertingkat dan melombol.

Kejayaan itu sekali gus mengenepikan pencabar terdekat Johor yang mengutip 166.250 mata untuk pingat perak manakala dan Pulau Pinang meraih gangsa dengan 166.100 mata.

Ketua jurulatih gimnastik skuad WiPers Sam Thong berkata, beliau amat berpuas hati dengan kejayaan dilakar atletnya sekali gus menamatkan penantian memenangi emas acara berpasukan wanita sejak mengendalikan pasukan pada 2014.

“Ikutkan tiada sasaran diletakkan untuk acara berpasukan kerana kita lebih menumpukan acara individu.

“Mereka betul-betul memberikan kejutan pada hari ini sebab saya dapat lihat mereka mahu menang,“ katanya kepada pemberita.

Sementara itu, atlet elit kebangsaan Zarith Imaan Khalid yang mewakili Pulau Pinang dinobatkan selaku juara acara all-around individu selepas mengumpul 49.300 mata.

Dua wakil Wilayah Persekutuan Marissa Zaiful Azian dan Hannah Yasmeen Mazwan (gambar) masing-masing meraih perak dan gangsa dengan 45.450 mata dan 44.800 mata.-Bernama