Sabah, Brazil perkukuh kerjasama bekalan makanan

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 4:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah, Brazil perkukuh kerjasama bekalan makanan

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) komited memperkukuh keterjaminan makanan negeri melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian dan Ternakan Brazil (Mapa), khususnya dalam bekalan produk ayam dan daging lembu serta potensi pembangunan tanaman guarana.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala di pejabat Mapa di Brasilia baru-baru ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Setiausaha Perdagangan dan Hubungan Antarabangsa Mapa, Paulo Marcio Mendonca Araujo, bersama ketua-ketua bahagian kementerian berkenaan.

Menurut Jamawi, perbincangan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama membekalkan sumber protein utama, termasuk sayap dan paha ayam serta daging lembu, bagi memenuhi keperluan pasaran Sabah pada harga berpatutan dan dengan kualiti terbaik.

Kedua-dua pihak turut meneliti peraturan sedia ada dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan, selain memperhalusi prosedur import dan eksport antara kedua-dua negara.

Selain bekalan sumber protein, mesyuarat itu turut meneroka peluang kerjasama dalam sektor tanaman, termasuk guarana, kopi, koko dan jagung untuk makanan ternakan.

Mengenai tanaman guarana, Jamawi berkata Brazil pada prinsipnya bersetuju membenarkan tanaman itu diusahakan secara komersial di negara lain, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan lanjut perlu diadakan kerana perkara itu turut tertakluk kepada perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Dalam rangka lawatan kerja itu, delegasi Maffi turut mengadakan audit dan pemantauan di kilang penyembelihan serta pemprosesan ayam milik syarikat JBS di Brasilia pada 18 Nov, sebelum melawat fasiliti penyembelihan dan pemprosesan daging lembu syarikat sama di Goiania pada 19 Nov.

Jamawi berkata audit di fasiliti JBS – antara pengeluar terbesar produk ayam dan daging lembu halal di dunia, penting bagi memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan makanan, kebersihan dan proses penyembelihan halal.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi memberikan jaminan kepada rakyat Sabah bahawa produk yang dibekalkan memenuhi piawaian ditetapkan.

Brazil merupakan antara pembekal utama daging lembu ke Sabah selain Australia dan New Zealand, manakala bekalan keratan ayam seperti sayap dan paha turut diperoleh dari negara itu selain Thailand. Daging kerbau pula diimport dari India.

Turut menyertai delegasi dan sesi audit itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Maffi, Awang Dzulkarnain Awang Hassan; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah, Dr Zul Bahar; Ketua Pegawai Eksekutif Rastamas yang mewakili Persatuan Penternak Ayam Sabah, Datuk Tahir Picho; serta pegawai DVS Sabah.

Kerjasama itu mencerminkan usaha kerajaan negeri memperkukuh rantaian bekalan makanan bagi memastikan bekalan yang stabil, selamat, halal dan mampan untuk jangka panjang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved