Sabah catat sehingga 6,000 kes TB setahun

LocalHealth & Fitness
1 Nov 2026 • 10:08 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah catat sehingga 6,000 kes TB setahun

TAWAU: Sabah mencatatkan purata 5,000 hingga 6,000 kes tuberkulosis (TB) setiap tahun, sekali gus menjadikan negeri ini antara yang tertinggi merekodkan penyakit itu di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pakar Perunding Perubatan Respiratori merangkap Ketua Jabatan Perubatan Hospital Tawau, Dr Muhammad Taufiq Rosli berkata, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan Sabah secara konsisten berada di kedudukan pertama atau kedua tertinggi bagi kes TB di negara ini.

Menurutnya, Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes tertinggi, diikuti Tawau. Bagaimanapun, gabungan kes di Tawau dan Lahad Datu menunjukkan taburan penyakit itu di Pantai Timur Sabah lebih tinggi berbanding Pantai Barat.

Beliau berkata, Sabah turut merekodkan purata 500 kematian akibat TB setiap tahun, angka yang disifatkannya sebagai membimbangkan.

Justeru, katanya, usaha mencapai visi bebas TB menjelang 2035 perlu memberi penekanan kepada pendidikan masyarakat, pengukuhan aset serta sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri.

“Pada masa sama, pendidikan masyarakat amat penting bagi menggalakkan orang ramai mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lebih awal, selain menghapuskan stigma bahawa TB merupakan penyakit yang tidak boleh dirawat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Pemerkasaan Koridor Respiratori Pantai Timur Sabah 2026 di Auditorium Hospital Tawau. Program itu dirasmikan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) JKNS, Dr Ridhwan Hasim.

Hadir sama Pengarah Hospital Tawau, Dr Norlimah Arsad; Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tawau, Rajkumar @ Abdul Rahman Auf Sabu; serta pengarah-pengarah hospital JKNS.

Menyentuh kes dalam kalangan kanak-kanak, Dr Muhammad Taufiq berkata, golongan dewasa masih mencatatkan jumlah kes tertinggi daripada keseluruhan kira-kira 6,000 kes TB yang direkodkan di Sabah setiap tahun.

Katanya, golongan dewasa merupakan kumpulan yang paling terkesan kerana kebanyakannya bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga, menyebabkan mereka berdepan dilema antara bekerja dengan mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian insentif kepada pesakit yang berjaya menamatkan rawatan TB bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa majoriti kes TB di Sabah sejak lima hingga 10 tahun kebelakangan ini melibatkan warganegara tempatan dan bukannya warga asing seperti tanggapan sesetengah pihak.

“Berdasarkan pecahan statistik, kira-kira 60 peratus kes TB melibatkan warganegara tempatan, manakala selebihnya membabitkan bukan warganegara,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata masyarakat tempatan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani penularan TB kerana penyakit itu turut memberi kesan kepada komuniti sendiri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved