
TAWAU: Kerajaan Sabah digesa mencontohi pendekatan Sarawak yang memperkenalkan skim subsidi bil elektrik kepada semua pengguna di negeri itu bagi mengelakkan rakyat berasa ‘terpinggir’ atau ‘kurang diberi perhatian’ berbanding negeri lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong, berkata Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM188.1 juta bagi menyediakan diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus kepada pengguna domestik di seluruh negeri sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menurutnya, di Sabah ketika ini, rebat maksimum RM40 sebulan hanya diberikan kepada keluarga miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih, sekali gus tidak merangkumi lebih ramai golongan isi rumah berpendapatan rendah.
“Tahap pendapatan per kapita serta keadaan kemiskinan di Sabah perlu diberikan perhatian lebih serius. Kerajaan tidak seharusnya mengabaikan golongan ini, sebaliknya memperluaskan skop subsidi supaya tiada seorang pun rakyat tercicir,” katanya.
Mengulas mengenai aduan kenaikan bil elektrik secara mendadak yang diterima baru-baru ini, beliau berkata peningkatan itu secara umumnya berpunca daripada tiga faktor utama.
Katanya, ia termasuk pelarasan tarif elektrik dan mekanisme subsidi mulai Februari tahun ini yang menyebabkan peningkatan kadar seunit, selain cuaca yang sangat panas menyebabkan peralatan penyejukan digunakan untuk tempoh lebih lama dan meningkatkan penggunaan elektrik.
Selain itu, katanya, kes tertentu seperti tempoh bacaan meter yang lebih panjang, kesilapan memasukkan data, kebocoran elektrik atau kerosakan peralatan elektrik turut menjadi faktor.
Menurutnya, sebelum ini beliau telah berhubung dengan pihak berkaitan dan Sabah Electricity (SE) berhubung isu bil elektrik yang melonjak secara luar biasa.
“Dalam hal ini, pihak SE menasihatkan pengguna supaya membuat beberapa pemeriksaan terlebih dahulu.
“Pengguna perlu menyemak bacaan meter dan membandingkannya dengan bacaan yang tertera pada bil bagi memastikan tiada kesilapan bacaan.
“Seterusnya, bandingkan penggunaan elektrik bagi tempoh tiga hingga enam bulan lalu untuk menilai sama ada peningkatan itu berpunca daripada perubahan corak penggunaan.
“Akhir sekali, tutup semua peralatan elektrik dan perhatikan sama ada meter elektrik masih bergerak bagi mengesan kemungkinan kebocoran atau kecurian elektrik,” katanya.
Justin berkata, sekiranya pemeriksaan mendapati tiada sebarang masalah tetapi bil elektrik masih tidak munasabah, orang ramai boleh menghubungi SE melalui talian 15454 atau 088-515000, WhatsApp di 019-852 5427 atau hadir ke kaunter perkhidmatan SESB untuk memohon semakan.
Penduduk kawasan Sri Tanjong juga boleh membuat pendaftaran aduan secara terus di pusat khidmat Justin, dan pasukannya akan membantu membuat susulan dengan pihak SE.






