Pertimbang tambah, lanjutkan subsidi elektrik Sabah

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 2:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pertimbang tambah, lanjutkan subsidi elektrik Sabah

PAPAR: Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan penambahan subsidi elektrik tahunan bagi Sabah susulan peningkatan kos bahan api, selain melanjutkan tempoh penyaluran subsidi berkenaan, yang dijadual berakhir pada 2030.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sokongan berterusan itu penting bagi membolehkan proses transformasi dan penstabilan sistem bekalan elektrik Sabah dilaksanakan sehingga mencapai tahap kematangan.

Katanya, rayuan rasmi berhubung penambahan subsidi sudah dikemukakan agensi kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan susulan peningkatan kos bahan api akibat konflik geopolitik di Asia Barat.

“Keperluan subsidi ini membabitkan implikasi kewangan yang dijangka mencecah ratusan juta ringgit,” katanya pada sidang media sempena perasmian pengoperasian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33/11kV Benoni, di sini, Khamis.

Armizan berkata walaupun kuasa kawal selia elektrik dan tenaga baharu sudah dipindahkan kepada kerajaan negeri sejak 2024, Kerajaan Persekutuan masih menyalurkan subsidi elektrik tahunan kepada Sabah dan komitmen itu amat dihargai.

Katanya, subsidi berkenaan bukan sahaja wajar ditambah bagi tahun ini, malah perlu diteruskan selepas tahun 2030 dengan mengambil kira tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan isu legasi dan menstabilkan sistem bekalan elektrik wilayah ini.

“Kuasa kawal selia elektrik dan tenaga Sabah baru dipindahkan kepada wilayah ini dua tahun lalu selepas berada di bawah Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1984 hingga 2024.

“Jadi, pertimbangan subsidi perlu mengambil kira tahap pencapaian serta isu legasi kestabilan elektrik yang diwarisi kerajaan negeri setelah sekian lama kuasa kawal selia dan pertanggungjawaban bekalan elektrik berada di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, selain faktor tempoh pengambilalihan kuasa kawal selia, sumbangan Sabah dalam aspek pemuliharaan alam sekitar juga perlu diberi perhatian dalam menentukan kesinambungan subsidi elektrik.

Katanya, Sabah sehingga kini mengekalkan komitmen sifar penjanaan tenaga berasaskan arang batu, berbanding kebergantungan signifikan wilayah lain, termasuk Semenanjung Malaysia, terhadap sumber berkenaan.

“Sabah tidak memiliki stesen jana kuasa arang batu atas komitmen kepada perlindungan alam sekitar. Namun wilayah ini masih berhadapan isu kestabilan dan kemampanan bekalan elektrik,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Sabah juga menjadi antara penyumbang penting sebagai penampan karbon melalui pengekalan kawasan litupan hutan yang merangkumi kira-kira 63 peratus keluasan wilayah ini.

Beliau berkata, komitmen berkenaan selari dengan agenda pengekalan 50 peratus litupan hutan negara yang dipersetujui di peringkat antarabangsa menerusi Sidang Kemuncak Bumi Rio de Janeiro pada 1992.

Dalam pada itu, Armizan berkata penambahbaikan sistem bekalan elektrik Sabah kini melibatkan tiga komponen utama iaitu penjanaan, penghantaran dan pengagihan.

Bagi aspek penjanaan, beliau berkata, jidar simpanan elektrik Sabah telah meningkat daripada lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos lalu dan disasarkan mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Pada masa sama, tempoh purata gangguan bekalan elektrik tahunan yang diukur melalui Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (Saidi) turut menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun,” katanya.

Armizan berkata, perkembangan itu selari dengan hala tuju perancangan tenaga negeri menerusi Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (PDP2026) bagi memastikan kapasiti penjanaan sentiasa dapat memenuhi pertumbuhan permintaan tenaga.

Mengenai PPU Benoni 33/11kV, yang bermula operasi pada Khamis, Armizan berkata kerja-kerja pembinaan yang dimulakan pada Ogos 2024 dan disiapkan dua bulan lebih awal itu memberi manfaat strategik kepada keseluruhan sistem rangkaian elektrik di daerah Papar.

Katanya, antara fungsi utama kemudahan berkenaan adalah menyediakan bekalan sandaran N-1 kepada Pencawang Masuk Utama (PMU) Papar dan PPU Kimanis, sekali gus meningkatkan daya tahan sistem sekiranya berlaku kerja penyelenggaraan atau gangguan bekalan yang tidak dirancang.

Konsep N-1 ini penting kerana apabila berlaku gangguan atau satu komponen perlu dihentikan untuk kerja penyelenggaraan, sistem masih mempunyai laluan atau kapasiti alternatif bagi memastikan bekalan kepada pengguna dapat terus disalurkan.

 “Ini secara langsung membantu mengurangkan risiko gangguan yang lebih meluas serta mempercepatkan proses pemulihan bekalan,” katanya.

Beliau berkata, PPU Benoni turut memperkukuh rangkaian pengagihan elektrik 33/11kV sedia ada, sekali gus membolehkan bekalan elektrik disalurkan dengan lebih stabil kepada kawasan Benoni dan lokaliti sekitarnya.

Menurutnya, pengukuhan rangkaian itu juga meningkatkan keupayaan sistem untuk menampung pertambahan permintaan elektrik susulan perkembangan kawasan berkenaan yang semakin pesat.

“PPU Benoni bukan hanya memberi manfaat kepada pengguna domestik, tetapi juga menyediakan sokongan infrastruktur yang lebih kukuh kepada sektor komersial dan industri yang berkembang di Benoni dan sekitarnya.

“Apabila kapasiti dan ketahanan rangkaian diperkukuh, ia memberi ruang kepada pertumbuhan kawasan dari segi pembangunan perumahan, aktiviti perniagaan dan industri tanpa terlalu bergantung kepada infrastruktur sedia ada,” katanya.

Armizan berkata, pembinaan PPU Benoni juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar memperkukuh komponen pengagihan dalam sistem bekalan elektrik Sabah.

“PPU Benoni melengkapkan rantaian itu, iaitu memastikan tenaga elektrik yang dijana dan dihantar dapat diagihkan kepada pengguna melalui rangkaian yang lebih kukuh, stabil dan mempunyai kapasiti mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PPU Benoni juga melengkapkan pembinaan 16 Pencawang Elektrik (PE) baharu di kawasan Parlimen Papar antara 2023 hingga Ogos 2026.

Daripada jumlah itu, katanya, tujuh PE dibina bagi membantu menangani masalah kesusutan voltan atau voltage drop di beberapa kampung tradisi, manakala lapan lagi dibangunkan di Parklane City Benoni bagi memenuhi pertumbuhan keperluan industri dan komersial serta satu PE di Taman Alamanda.

“Ini menunjukkan usaha menstabilkan bekalan elektrik di Papar bukan hanya tertumpu kepada satu projek, tetapi dilaksanakan secara menyeluruh mengikut keperluan setiap kawasan,” katanya.

Turut hadir, Adun Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra, Pengerusi Sabah Electricity (SE) Datuk Saadiah Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SE Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, Pegawai Daerah Papar Muhammad Mohd Ali dan Pengarah Urusan Kumpulan WSG Datuk Susan Wong Siew Guen.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved