liza06/08/2026 - 12:56 Pulau Mabul Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kerajaan Sabah meminta kedutaan dan suruhanjaya tinggi negara asing di Malaysia menilai semula amaran perjalanan yang dikenakan terhadap Pantai Timur Sabah susulan keadaan keselamatan di kawasan itu yang semakin baik.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha itu penting bagi meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa sekali gus merancakkan semula sektor pelancongan di destinasi pantai timur negeri berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya berharap negara-negara tersebut dapat mengurangkan tahap amaran perjalanan berdasarkan perkembangan positif yang dicapai di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone), terutama apabila tiada kes penculikan untuk wang tebusan direkodkan sejak Januari 2020.
Tiada kes penculikan selama enam tahun
Menurut Hajiji, rekod sifar kes penculikan selama lebih enam tahun merupakan satu pencapaian penting hasil usaha berterusan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama agensi keselamatan lain.
Katanya, keadaan keselamatan di ESS Zone kini berada pada tahap yang baik dan kekal terkawal hasil pemantauan serta penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Kota Kinabalu.
Hajiji turut menjelaskan bahawa penyampaian maklumat yang lebih berkesan kepada kedutaan dan suruhanjaya tinggi mengenai kemajuan aspek keselamatan di Pantai Timur Sabah mampu membantu mereka membuat penilaian semula terhadap amaran perjalanan sedia ada.
Tinjau kesiapsiagaan pasukan keselamatan
Dalam pada itu, Hajiji berkata beliau telah mengadakan lawatan ke enam buah pulau di perairan Sabah baru-baru ini bagi meninjau pos kawalan keselamatan serta menilai tahap kesiapsiagaan operasi anggota yang bertugas.
Katanya, lawatan tersebut memberi gambaran jelas mengenai tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam memastikan sempadan dan perairan negeri terus berada dalam keadaan selamat.
Kerjasama diperkukuh tingkat keselamatan
Beliau berkata, kerajaan Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan KDN untuk menambah baik aset keselamatan, memperkukuh kesiapsiagaan operasi serta meningkatkan kebajikan anggota yang ditempatkan di kawasan sempadan.
Menurut Hajiji, langkah berterusan itu bukan sahaja penting bagi memastikan keselamatan rakyat dan pelancong terus terpelihara, malah mampu mengukuhkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Pantai Timur Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat. - DagangNews.com






