
Kota Kinabalu: Penyertaan dalam persediaan mendapatkan lesen pemandu selam masih rendah di Sabah, mendorong Persatuan Selam Skuba Malaysia (MSDA) mendapatkan sokongan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pematuhan serta menjamin keselamatan pelancong.
Presidennya Aminor Azmi Abdul Latip berkata lebih ramai divemaster dan tenaga pengajar selam khususnya di Kota Kinabalu dan Semporna perlu menghadiri kursus berkaitan serta melengkapkan dokumen permohonan lesen.
Beliau berkata tahap kesedaran dalam kalangan penggiat industri masih belum memuaskan meskipun garis panduan pelesenan yang diperkenalkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mula berkuat kuasa pada 15 April lalu.
“MSDA memohon sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (Kepkas) untuk menggalakkan lebih ramai divemaster dan tenaga pengajar selam tempatan menghadiri kursus serta melengkapkan dokumen yang diperlukan bagi permohonan lesen.
“Penggiat industri perlu memahami keperluan pelesenan dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan semua syarat dipenuhi sebelum lesen dikeluarkan,” katanya.
Aminor berkata demikian selepas mengetuai delegasi MSDA mengadakan kunjungan hormat ke Kepkas yang diterima Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal.
Delegasi itu turut disertai Ahli Jawatankuasa Eksekutif MSDA Sabah Edmund Lo Wing Ket dan Lai Wei Zhong.
Aminor berkata MSDA akan menganjurkan kursus The Island Host di Kota Kinabalu pada 1 Disember diikuti sesi di Semporna pada 3 Disember.
“Kedua-dua kursus ini adalah sesi terakhir yang diselaraskan MSDA bagi tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa penyertaan dalam kursus berkenaan hanya satu daripada langkah dalam proses permohonan lesen.
Pemohon juga perlu memenuhi syarat lain serta mendapatkan kelulusan Motac sebelum lesen dapat dikeluarkan.
MSDA turut mencadangkan supaya prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sukan air khususnya berkaitan aktiviti selam skuba, dikaji semula bagi memastikan garis panduan berkenaan praktikal dan bersesuaian dengan keperluan industri di Sabah.
Aminor berkata persatuan itu bersedia menjadi rakan strategik Kepkas dalam menganjurkan perbincangan atau bengkel membabitkan agensi berkaitan serta wakil industri.
Perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada mengenal pasti risiko operasi, memperjelas tanggungjawab serta memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
“Pelesenan, kecekapan profesional dan amalan keselamatan yang konsisten perlu bergerak seiring bagi melindungi pelancong serta meningkatkan keyakinan terhadap pelancongan marin Sabah.
“Selain keselamatan, MSDA turut memohon sokongan Kepkas terhadap inisiatif pemuliharaan alam sekitar serta usaha berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diterajui sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan, pengusaha pelancongan dan komuniti tempatan amat penting bagi melindungi ekosistem marin serta warisan semula jadi Sabah di samping memastikan kelangsungan industri pelancongan dalam jangka panjang.
“MSDA berharap kerjasama dengan Kepkas dapat diperkukuh bagi memastikan industri selam skuba Sabah berkembang dengan lebih selamat, profesional dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.





