Sabah komited tuntut 40 peratus

LocalPolitics
17 Apr 2025 • 1:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Larry Ralon

Kota Kinabalu: Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Negeri kekal komited dan teguh dalam tuntutan Pemberian Khas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Sabah kekal konsisten, berterusan dan berkeras bahawa tuntutan Pemberian Khas itu seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh, yang menyatakan 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah akan diperuntukkan,” katanya ketika menggulung persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senalang), Datuk Jaujan Sambakong (Sulabayan) dan Assaffal P Alian (Tungku) berhubung isu Pemberian Khas itu semasa sesi perbahasan.

Masidi berkata, Kerajaan Negeri terus berusaha untuk memastikan haknya dalam pengagihan hasil yang adil dan saksama, dengan harapan tuntutan ini mendapat perhatian serius daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata pelantikan penilai bebas bergantung kepada hasil rundingan yang diadakan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan pada 30 Jun nanti.

Mengenai ketirisan hasil, Masidi berkata isu berlarutan itu mendapat perhatian serius daripada Kerajaan Negeri. Beliau menegaskan bahawa Kerajaan komited untuk melaksanakan langkah-langkah berkesan dan menyeluruh bagi memastikan hasil negeri dipungut secara optimum.

“Kita semua tahu isu ketirisan hasil bukan perkara baru dan sudah berlarutan sejak sekian lama. Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini,” katanya.

Beliau memperincikan beberapa langkah utama yang sedang dilaksanakan, termasuk pemantapan sistem pemantauan dan pengurusan hasil, seperti pendigitalan rekod dan penggunaan sistem pengesanan dan kutipan hasil berpusat; menyemak semula perjanjian sedia ada untuk memastikan terma-terma tersebut bersesuaian dengan kepentingan Kerajaan dan rakyat; penguatkuasaan lebih tegas terhadap pihak yang gagal mematuhi perundangan dan peraturan, termasuk penalti untuk kelewatan pembayaran atau pelanggaran syarat perjanjian.

Dalam usaha mengelakkan ketirisan hasil Cukai Jualan Negeri, Kementerian Kewangan telah melaksanakan pemeriksaan berkala, pemeriksaan khas, dan audit meja, bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia; serta meningkatkan kapasiti pegawai dan agensi terlibat melalui latihan teknikal dan tadbir urus kewangan untuk memperkukuh integriti dan kecekapan dalam urusan hasil.

“Dengan langkah-langkah ini, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk memastikan ketirisan hasil dapat diminimumkan dan hasil negeri dapat dimaksimumkan untuk manfaat rakyat dan pembangunan negeri.”