Sabah kukuhkan FDI sektor minyak dan gas, rangsang pertumbuhan ekonomi negeri

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2025 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sabah kukuhkan FDI sektor minyak dan gas, rangsang pertumbuhan ekonomi negeri

image is not available

31/07/2025 - 12:30

KUALA LUMPUR 31 Julai - Sabah berjaya mengukuhkan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor minyak dan gas (O&G), sekali gus meningkatkan hasil negeri dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan — disokong kerjasama strategik dengan PETRONAS.

Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Dionysia Kibat berkata pemain industri utama sedang mempergiatkan aktiviti mereka di kawasan lembangan sumber asli yang kaya di Sabah.

“Syarikat O&G antarabangsa utama komited untuk meneruskan penerokaan, pembangunan dan pengeluaran di negeri ini,” katanya kepada FMT dalam satu temu bual eksklusif, sambil menambah Sabah kini mendahului negeri-negeri lain dari segi kemasukan FDI dalam jangka masa terdekat.

Antara syarikat tersebut, ConocoPhillips dan Pertamina kini aktif di lembangan Layang-Layang, manakala INPEX Malaysia dan TotalEnergies memegang kepentingan dalam blok penerokaan di perairan pantai timur dan barat.

Sementara itu, Shell Malaysia dan ConocoPhillips melanjutkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) mereka hingga tahun 2050, manakala PTTEP Malaysia sedang meningkatkan semula pembangunan laut dalam di Blok H dan Kikeh.

Dionysia berkata, kerjasama itu sudah pun memberikan lonjakan besar kepada hasil negeri.

“Kira-kira separuh daripada hasil kerajaan negeri berjumlah RM6.7 bilion diperoleh daripada aktiviti minyak dan gas dalam bentuk bayaran tunai dan cukai jualan negeri (SST)," katanya.

Beliau berkata, keyakinan pelabur yang berterusan adalah hasil daripada pendekatan kerjasama Sabah dengan PETRONAS, berbanding pendekatan undang-undang dan tindakan mahkamah oleh Sarawak.

“Setakat ini, kerjasama strategik ini telah menunjukkan kejayaan dari segi komersial dan kewangan bagi pihak Sabah,” katanya.

Pada 2021, pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang membolehkan negeri ini mendapat suara yang lebih besar, pendapatan yang lebih tinggi dan penglibatan lebih meluas dalam industri minyak dan gas, sambil menghormati undang-undang negara termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974.

SMJ Energy, entiti milik penuh kerajaan negeri Sabah yang ditubuhkan pada 2021, telah diberi mandat untuk menyelia, mengurus dan menyelaras penglibatan Sabah dalam keseluruhan rantaian nilai industri minyak dan gas.

“CCA menyediakan penyelesaian komersial bagi menangani isu hak minyak dan gas di Sabah sambil mengekalkan hak dan keistimewaan undang-undang sedia ada yang dimiliki oleh kerajaan negeri dan persekutuan,” kata Dionysia.

Melalui CCA, SMJ Energy telah memperoleh pegangan ekuiti dalam beberapa usaha sama: 50% dalam PSC Samarang, 25% dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah dan 10% dalam loji LNG Petronas di Bintulu.

Ketiga-tiga pelaburan itu menjana dividen dan hasil masing-masing sebanyak RM1.8 bilion, RM323 juta, dan RM866 juta.

“Dividen daripada SMJ—berjumlah RM160 juta setakat ini—telah disalurkan kembali kepada kerajaan negeri.

“SST yang dibayar kepada negeri oleh SMJ Energy berjumlah RM91 juta setakat ini,” katanya.- DagangNews.com

standard