Sabah lancar terminal kargo udara di Sandakan, pacu perdagangan rentas negeri

23/04/2025 - 18:07
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 23 APRIL - Sabah melancarkan terminal kargo udara khusus pertamanya di Sandakan, sebagai langkah penting bagi mengukuhkan perdagangan rentas negeri dan mengembangkan kapasiti logistik sekitar wilayah.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata, fasiliti itu dibangunkan oleh Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) dengan kerjasama Teleport yang menandakan permulaan rancangan secara lebih luas bagi menambah baik infrastruktur kargo udara di seluruh negeri.
Beliau menyifatkan pelancaran rasmi tersebut sebagai titik tolak bagi Sandakan dan wilayah persekitarannya, termasuk Libaran, Kinabatangan, Beluran, Batu Sapi, dan Lahad Datu yang turut merupakan lima kawasan parlimen dalam Zon 5 Sabah.
"Ini terminal kargo udara khusus pertama di Sabah, dengan GTR memilih Sandakan sebagai permulaan yang mula beroperasi pada 1 April 2025, dan kini secara rasmi bersedia melayani seluruh zon, bukan hanya Sandakan sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan kemudahan berkenaan yang turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak.
Mengulas lanjut, Vivian berkata, kemudahan itu sudah mengendalikan empat tan kargo dan boleh menampung sehingga lapan tan pada kapasiti penuh, sambil yakin ini akan mengukuhkan eksport seperti makanan laut dan menyokong industri setempat.
Kehadiran GTR kata beliau, akan meningkatkan perkhidmatan kargo terutama dengan pertumbuhan pesat perniagaan eDagang selain bersedia menyokong dan mengambil tugas terminal di Kota Kinabalu yang ketika ini sudah semakin sesak.
"Ini lebih daripada perniagaan dan perkhidmatan kepada rakyat serta mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi tempatan, terutamanya apabila lebih ramai pelabur mula mengalihkan pandangan mereka ke Sandakan," katanya.
Sementara itu, Musdalifa berkata, terminal berkenaan adalah sebahagian rumusan logistik yang komprehensif melibatkan berbilang rakan kongsi, termasuk Teleport dan penghantar kargo, bertujuan mengukuhkan kesalinghubungan di seluruh Sabah.
Salah satu perkara paling penting yang disasarkan untuk dicapai GTR ialah ekosistem logistik yang bersepadu serta melengkapkan kemudahan di Sandakan bagi seterusnya meningkatkan perdagangan di seluruh Sabah.
"Kami juga komited untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan. Ini mungkin kelihatan seperti pekerjaan yang mudah, tetapi ia penting demi memastikan keselamatan pesawat, kargo, dan akhirnya, penumpang," kata beliau.
Chareonwongsak pula menambah bahawa Sabah merupakan hab kargo udara berprestasi yang kedua terbaik diuruskan Teleport di Malaysia, selepas Kuala Lumpur.
"Kami mahu memindahkan eDagang ke mana-mana, melangkaui ibu kota. Terminal ini memastikan penghantaran rentas sempadan hari berikutnya untuk perniagaan di Sandakan dan menyokong rancangan kami menguruskan dua juta bungkusan menjelang akhir 2025,” katanya.
Teleport ialah usaha logistik Capital A, mengendalikan rangkaian serantau yang luas yang memanfaatkan AirAsia dan lebih 40 syarikat penerbangan rakan kongsi untuk mencapai lebih daripada 160 destinasi di seluruh Asia Pasifik. - DagangNews.com
standard

