Sabah mahu jadi pencipta karya

LocalEntertainment
5 Sep 2026 • 4:15 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah mahu jadi pencipta karya

Kota Kinabalu: Sabah komited mengubah landskap industri kreatif negeri kepada pusat penghasilan karya yang mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Sabah mempunyai segala ramuan diperlukan untuk membangunkan industri kreatif termasuk lokasi menarik, kekayaan budaya, cerita yang pelbagai serta bakat tempatan.

Beliau menyatakan apa yang diperlukan kini ialah menyediakan lebih banyak peluang, pendedahan dan ruang kepada penggiat kreatif tempatan supaya bukan sekadar terlibat dalam produksi tetapi mampu mencipta dan menerajui karya sendiri.

“Sabah tidak kurang bakat. Kita mempunyai penulis, pelakon, pengarah, penerbit, jurukamera, editor, tenaga teknikal dan begitu ramai anak muda kreatif yang sedang mencari ruang untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan bakat-bakat ini terus diberikan peluang, pendedahan dan ruang untuk berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejayaan telemovie Aku, Kau dan Dia terbitan Del Films Production menerusi Dana Program TV Borneo.

Menurut Nizam kejayaan karya berkenaan membawa makna lebih besar daripada sekadar penerbitan sebuah telemovie kerana ia membuktikan penggiat kreatif Sabah memiliki kemampuan menghasilkan kandungan berkualiti, mempunyai nilai komersial dan berpotensi menembusi pasaran lebih luas.

Bukan sekadar lokasi penggambaranNizam berkata Sabah tidak seharusnya hanya dilihat sebagai lokasi menarik untuk produksi dari luar sebaliknya perlu mempunyai lebih banyak karya yang lahir daripada idea, bakat dan tenaga kreatif anak tempatan sendiri.

“Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi pengguna karya. Kita mahu Sabah menjadi pencipta karya,” katanya.

Jelasnya pembangunan industri kreatif juga perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda ekonomi negeri kerana sektor itu mempunyai rantaian nilai yang luas serta mampu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

Beliau berkata sesebuah produksi bukan hanya melibatkan pelakon dan pengarah, malah menggerakkan tenaga penulis skrip, jurukamera, editor, kru teknikal, jurusolek, pereka kostum, pengusaha peralatan, pengangkutan, makanan, penginapan, pemilik lokasi dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

“Dalam ekonomi masa kini, kreativiti mempunyai nilai. Idea, cerita dan kandungan mempunyai nilai.

“Sekiranya semua potensi ini dibangunkan dengan baik, ekonomi kreatif mampu menjadi antara sumber pertumbuhan baharu kepada negeri kita,” ujarnya.

Nizam sebelum ini turut menegaskan bahawa ekonomi kreatif berpotensi menjadi pemangkin peningkatan taraf hidup belia menerusi peluang perniagaan dan sumber pendapatan baharu berasaskan bakat serta kreativiti.

Dalam pada itu Nizam berkata industri kreatif juga boleh menjadi medium berkesan untuk memperkenalkan Sabah kepada dunia.

Katanya kekayaan alam semula jadi, kepelbagaian masyarakat, adat dan budaya, makanan serta kehidupan masyarakat tempatan mempunyai nilai tersendiri untuk diterjemahkan dalam filem, drama dan telemovie.

“Seseorang yang tidak pernah datang ke Sabah boleh tertarik untuk mengenali negeri ini hanya kerana melihat keindahan lokasi, budaya dan kehidupan masyarakat kita melalui sesebuah karya.

“Inilah bagaimana kandungan kreatif boleh bergerak seiring dengan usaha mempromosikan pelancongan, kebudayaan dan identiti negeri,” katanya.

Berikutan itu beliau menggalakkan penggiat kreatif tempatan supaya tidak menjadikan Sabah sekadar latar belakang tetapi mengangkat identiti dan cerita Sabah sebagai kekuatan utama penceritaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved