Pendidikan Bahasa Inggeris perlu diperkasa demi masa depan anak Sabah

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 12:50 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pendidikan Bahasa Inggeris perlu diperkasa demi masa depan anak Sabah

PENAMPANG: Usaha memperkukuh pendidikan Bahasa Inggeris di Sabah perlu memberi tumpuan kepada penguasaan bahasa kedua itu dalam kalangan pelajar supaya mereka mampu bersaing di peringkat nasional dan global kata Ketua Upko Putatan Jason Lee.

Jason berkata beliau menyambut baik cadangan memperkukuh pendidikan Bahasa Inggeris di sekolah, termasuk membolehkan lembaga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempertimbangkan pengenalan Kesusasteraan Inggeris atau penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi aliran Sains dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Usaha itu menurutnya bukan sekadar meningkatkan kemahiran menguasai Bahasa Inggeris tetapi berkait rapat dengan masa depan anak-anak Sabah.

“Saya melihat cadangan ini sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar kemahiran menguasai bahasa kedua, iaitu Bahasa Inggeris. Malah, ia adalah mengenai masa depan anak-anak Sabah,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ewon pada persidangan yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, baru-baru ini.

Jason berkata penguasaan Bahasa Inggeris mampu memberikan pelajar Sabah akses lebih luas kepada ilmu pengetahuan, teknologi, pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan dalam persekitaran global yang semakin kompetitif.

“Dunia hari ini semakin kompetitif. Anak-anak kita bukan sahaja perlu bersaing dengan pelajar dari seluruh Malaysia tetapi juga golongan muda dari seluruh dunia.

“Penguasaan Bahasa Inggeris boleh memberikan akses lebih luas kepada ilmu pengetahuan, teknologi, pendidikan tinggi dan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menyokong cadangan Presiden Upko Datuk Ewon Benedick supaya Bahasa Inggeris diperkasa di sekolah dan institusi pendidikan di Sabah ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Upko ke-17 pada Isnin.

Beliau menyatakan penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih baik turut memberi manfaat khusus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta TVET memandangkan bahasa itu kekal sebagai alat penting untuk mengakses pengetahuan teknikal dan mengembangkan peluang kerjaya.

Bagaimanapun Jason menegaskan usaha memperkukuh pendidikan Bahasa Inggeris perlu mengambil kira tahap kesediaan sekolah, guru dan pelajar serta keadaan sebenar sekolah dan institusi pendidikan.

“Kita tidak boleh membiarkan dasar yang baik hanya kelihatan baik di atas kertas. Kita perlu memastikan guru menerima sokongan dan latihan yang diperlukan, manakala sekolah dan institusi mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif serta kemudahan yang diperlukan,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya perhatian lebih diberikan kepada sekolah luar bandar bagi memastikan pelajar di luar kawasan bandar tidak tercicir.

“Paling penting, pelajar di kawasan luar bandar juga mesti mempunyai peluang yang sama. Kita tidak boleh membiarkan kanak-kanak di kawasan bandar mendapat akses lebih baik sedangkan kanak-kanak di luar bandar terus ketinggalan,” jelasnya.

Jason berkata peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris tidak harus dilihat sebagai ancaman terhadap identiti atau budaya Sabah sebaliknya sebagai alat untuk meningkatkan daya saing generasi muda.

“Kita mahu anak-anak Sabah tahu siapa diri mereka. Kita mahu mereka bangga menjadi rakyat Sabah. Tetapi pada masa sama, kita mahu mereka mempunyai keupayaan untuk berdiri di pentas Malaysia dan pentas dunia,” katanya.

Beliau berkata bahasa boleh menjadi pintu masuk kepada peluang global, manakala pendidikan kekal sebagai kunci dalam membentuk masa depan Sabah.

“Bahasa memberi kita akses kepada dunia. Pendidikan memberi kita kuasa untuk membentuk masa depan. Sebab itulah saya menyokong usaha memperkukuh pendidikan Bahasa Inggeris di Sabah,” tambahnya.

Dalam isu lain Jason berkata parti-parti politik berasaskan Sabah perlu bersatu dan bercakap dengan satu suara dalam mempertahankan hak serta kepentingan negeri khususnya dalam menuntut pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata perbezaan politik tidak seharusnya menghalang parti-parti tempatan daripada berdiri bersama dalam isu yang menyentuh masa depan Sabah.

“Kita mungkin berbeza dari segi politik. Tetapi kita tidak boleh berbeza apabila menyentuh hak Sabah. Kita mungkin daripada parti politik yang berbeza. Apabila menyentuh masa depan Sabah, kita mesti bercakap dengan satu suara,” katanya.

Jason berkata beliau menyokong penuh seruan Presiden parti supaya kerjasama lebih kukuh diwujudkan antara parti-parti tempatan Sabah kerana kesatuan itu mampu menjadi kuasa baharu dalam memperjuangkan hak Sabah dan memperkukuh pelaksanaan MA63.

Beliau berkata barisan bersatu antara parti-parti tempatan Sabah akan mengukuhkan kedudukan negeri dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan serta membolehkan tuntutan di bawah MA63 diperjuangkan dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun katanya perpaduan perlu disokong dengan agenda, pendirian dan tindakan bersama, selain mempunyai keutamaan jelas mengenai hak serta isu yang perlu diselesaikan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved