
TAWAU: Sabah pemegang rekod paling banyak projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan 39 perumahan mampu milik namun masih menunggu kemasukan projek pertama Program Residensi Rakyat (PRR) di bawah Kerajaan Madani.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (gambar) berkata pihaknya mempunyai perancangan untuk membangunkan PRR pertama di Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kita memang ada perancangan untuk membina projek pertama PRR di Sabah yang diharap akan mendapat pengiktirafan sebagai antara perumahan mampu milik yang terbaik di peringkat global.
“Sebab itu pentingnya Kerajaan Sabah yang akan dibentuk selepas November nanti sehaluan dengan Kerajaan Pusat supaya penyaluran peruntukan kepada negeri ini lebih mudah dilakukan”, katanya dalam sidang media pada Rabu.
Kor Ming berkata PRR diperkenalkan untuk menggantikan PPR dan pihaknya komited untuk mewujudkan rumah mampu milik yang mencapai piawaian bidang hartanah antarabangsa menerusi PRR.
Selaras perkembangan itu beliau mendedahkan bahawa projek PPR juga sudah dihentikan di seluruh negara dan tidak akan dimasukan ke dalam agenda pelan baharu RMK13.
“Di bawah reformasi perumahan awam PPR tidak akan dibina lagi tetapi kita menaik taraf projek perumahan mampu milik untuk rakyat ini kepada PRR”, katanya.
Beliau akui optimis dengan potensi PRR lebih-lebih lagi dengan kejayaan pihak pemaju swasta negara menerima pingat emas dalam FIABCI World Prix d’ExcellenceAwards (Oscars dunia hartanah) untuk tempoh dua tahun berturut-turut bagi kategori perumahan mampu milik terbaik di dunia.
Sebelum ini Kabinet meluluskan penjenamaan semula PPR kepada PRR pada September 2024 untuk menyediakan rumah mampu milik yang lebih moden, berkualiti dan lestari kepada rakyat.


