Sabah pengeluar minyak, wajar nikmati semula subsidi - Ewon

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 9:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ewon ketika beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Raya UPKO Nasional di Dewan Sri Putatan, Putatan.

PUTATAN - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berpandangan subsidi diesel yang diberikan kepada Sabah dengan had tertentu wajar dikembalikan sepenuhnya memandangkan negeri itu merupakan antara penyumbang utama sumber minyak dan gas negara.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, keperluan domestik Sabah seharusnya diberi keutamaan, khususnya dalam konteks penggunaan hasil minyak yang diperoleh dari wilayah negeri berkenaan.

Menurutnya, isu pengurangan subsidi itu perlu diberi penjelasan oleh kerajaan Persekutuan, apatah lagi dalam keadaan ketidaktentuan global yang turut memberi kesan kepada harga minyak dunia.

"Mungkin Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan boleh memberi penjelasan kenapa ia dikurangkan. Kalau alasannya kerana perang, memang betul ada kesan kepada kenaikan harga minyak ini. Ia bukan sahaja berlaku di negara kita, tetapi juga di banyak negara lain yang terkesan dengan pergerakan kapal-kapal yang mengangkut bekalan minyak dunia ini.

"Mungkin sudah tiba masanya Malaysia melihat bagaimana minyak yang diambil daripada muka bumi kita ini digunakan untuk keperluan domestik. Kita memahami sebahagian besar hasil minyak itu diproses dan dieksport ke negara lain, namun hanya sebahagian kecil digunakan dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir pada majlis Sambutan Raya UPKO Nasional di Dewan Sri Putatan di sini pada malam Khamis.

Ewon yang juga pernah terlibat dalam Kabinet Persekutuan sebelum ini berkata, Sabah berhak menerima pulangan sewajarnya, bukan sahaja dari segi pembangunan, tetapi juga penggunaan hasil minyak dan gas untuk keperluan rakyat negeri itu.

"Saya terlibat dalam membuat keputusan memberikan subsidi diesel ini ketika masih berada dalam Kabinet Persekutuan dan kita mempertahankannya kerana Sabah merupakan negeri pengeluar gas dan minyak.

"Saya konsisten menyatakan bahawa hasil daripada negeri-negeri pengeluar inilah yang menyumbang kepada pembangunan di negeri lain yang tidak mengeluarkan sumber tersebut.

"Jadi untuk Sabah, kita berhak mendapat pulangannya. Bukan hanya dari segi pembangunan, tetapi juga bagaimana hasil itu digunakan untuk keperluan domestik negeri ini. Jika ada ruang untuk menyuarakan pandangan, kenapa hasil bumi Sabah tidak dikembalikan mengikut keperluan rakyatnya," tegasnya.

Mengulas lanjut, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata, kebimbangan terhadap isu tersebut bukan sahaja disuarakan oleh pemain industri, malah turut dirasai rakyat biasa yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, gangguan terhadap rantaian bekalan, khususnya melibatkan pengangkutan laut bagi barangan keperluan harian seperti makanan, boleh memberi kesan besar kepada pengguna.

Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa tuntutan hak Sabah terhadap hasil minyak dan gas merupakan perjuangan berterusan, namun tidak seharusnya menjejaskan kerjasama antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Sehubungan itu, beliau mempertahankan pemberian subsidi diesel kepada Sabah dan menyifatkannya sebagai wajar, selaras dengan sumbangan besar negeri itu terhadap hasil negara.

"Kalau ada pihak yang mempersoalkan kenapa Sabah diberi subsidi diesel, tanya dahulu siapa yang mengeluarkan gas dan minyak itu. Sabah adalah pengeluar, maka perlu dijelaskan apa yang telah dikembalikan kepada rakyat negeri ini.

"Kita telah menyumbang kepada pembangunan di tempat lain, jadi kembalikan apa yang Sabah sepatutnya dapat, khususnya yang telah hilang sejak penguatkuasaan akta berkaitan petroleum," katanya.