KUALA LUMPUR - Penilaian impak konflik di Asia Barat dalam jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap Malaysia akan dibincang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas esok, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Apa yang lebih penting adalah untuk kita bersiap siaga terutamanya melibatkan sudut ekonomi rakyat. Perincian lanjut akan diumumkan esok selepas mesyuarat.
"Kita tidak mahu membuat sebarang keputusan sebelum semua perkara dibincangkan secara terperinci," katanya kepada pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa bersama dengan Sahabat Istimewa Indah Water Konsortium di sini pada Khamis.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah pun mengadakan perbincangan awal mengenai isu berbangkit susulan konflik berkenaan.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara-negara Teluk. - Bernama


![Lelaki Terlantar Sakit Tapi Dah 3 Tahun Rakan-rakan Masih Datang Rumah Berbuka Puasa Bersama [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)