amree18/11/2026 - 15:33 Foto kredit Kota Kinabalu Airport Guide Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov — Sabah perlu mula merangka pelan jangka panjang bagi memenuhi keperluan penerbangan negeri itu, termasuk pembinaan lapangan terbang baharu atau landasan kedua, meskipun Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bakal diperluas dengan kos RM442.3 juta.
Timbalan Pengerusi Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia Seksyen Sabah, Mohd Faizal Malik berkata, perancangan kapasiti lapangan terbang berkenaan tidak seharusnya tertumpu kepada keupayaan terminal yang mengendalikan trafik semasa jumlah penumpang semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, tahap kemampuan kapasiti landasan, pergerakan pesawat yang mendarat dan berlepas, permintaan sepanjang waktu puncak, kebolehpercayaan operasi serta keupayaan menampung pertumbuhan pada masa depan turut perlu diambil kira dengan rapi oleh pihak berwajib.
"KKIA yang asalnya hanya bermula sebagai Jesselton Airfield sudah berkhidmat lama untuk ibu negeri Sabah lebih 45 tahun dan melalui beberapa kerja naik taraf utama, termasuk usaha penambahbaikan Terminal 1 dan 2 serta pemanjangan landasan," jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu ujar Mohd Faizal, projek peluasan terminal yang dirancang tersebut sekadar akan meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang tahunan KKIA daripada menampung sembilan juta penumpang pada ketika ini kepada 12 juta orang.
Bagaimanapun kata beliau, peningkatan kapasiti terminal tidak semestinya membolehkan lebih banyak pesawat berlepas dan mendarat kerana pergerakan pesawat turut bergantung kepada kapasiti landasan, ruang parkir pesawat serta pengurusan trafik udara.

Justeru jelas beliau, Sabah perlu menilai kapasiti sebenar KKIA selepas peluasan, tempoh sebelum kemudahan berkenaan mencapai had operasi praktikal serta infrastruktur tambahan yang diperlukan bagi menampung permintaan pada masa depan.
"Perancangan untuk membina lapangan terbang baharu memerlukan tempoh panjang kerana melibatkan kajian kebolehlaksanaan, penilaian tapak, perancangan tanah, kelulusan, pembiayaan dan pembangunan infrastruktur sokongan bersesuaian," tambah Mohd Faizal.
Keperluan perancangan awal itu turut terpakai sekiranya kerajaan negeri memilih alternatif lain seperti projek pembinaan landasan kedua KKIA atau lapangan terbang sokongan bagi mengurangkan tekanan terhadap KKIA sendiri.
Dalam forum bertajuk 'The Future of KKIA: Retain, Expand or Relocate?' baru-baru ini, perunding strategi lapangan terbang dan penerbangan, Edward Clayton berkata, KKIA mengendalikan kira-kira sembilan juta penumpang pada 2025, dengan pertumbuhan purata 4.1% setahun sejak 2005.
Forum itu turut membincangkan anggaran kos indikatif kira-kira RM10 bilion bagi pembinaan lapangan terbang baharu, manakala pilihan membina landasan kedua dan lapangan terbang sokongan dianggarkan menelan belanja antara RM10 bilion hingga RM15 bilion.
Situasi itu perlu menampung pertumbuhan pelancongan Sabah serta peningkatan ketibaan dari China dan hubungan penerbangan terus ke bandar utama Asia selain terus menambah permintaan terhadap infrastruktur penerbangan negeri itu. - DagangNews.com






