
Tenom: Kerajaan Sabah menyalurkan RM32.5 juta menerusi dua inisiatif bagi memperkukuh sektor penanaman padi negeri merangkumi penyediaan jentera pertanian dan pembangunan semula tanah terbiar.
Menerusi jumlah itu, RM15 juta diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah (LPBS) tahun ini bagi memenuhi keperluan jentera pertanian untuk kerja membajak, menanam dan menuai padi.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaffar berkata peruntukan itu merupakan suntikan penting dalam memperkukuh mekanisasi sektor penanaman padi sekaligus meningkatkan kecekapan pengurusan sawah di negeri ini.
“Penggunaan jentera pertanian dapat membantu melancarkan kerja-kerja di sawah, meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pertanian tradisional.
“Selain itu LPBS turut menjalin kerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menerusi memorandum persefahaman (MoU) melibatkan nilai kira-kira RM17.5 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) hingga 2030 bagi membangunkan tanah terbiar untuk tanaman padi,” katanya.
Jamawi berkata kerjasama antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan itu merupakan langkah penting bagi mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian yang belum diusahakan sepenuhnya sekaligus meningkatkan pengeluaran padi tempatan.
“Jadi inilah kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan Persekutuan bersama dengan agensi Kerajaan Negeri yang mudah-mudahan akan memberikan manfaat kepada pengusaha-pengusaha padi kita di kawasan negeri Sabah,” ujarnya.
Menurut beliau beberapa kawasan termasuk Kota Belud dan Kota Marudu dikenal pasti mempunyai potensi bagi dibangunkan menerusi konsep mini estet khususnya melibatkan kawasan sawah padi terbiar.
Beliau berkata pembangunan kawasan berkenaan turut membuka ruang kerjasama dengan syarikat yang berminat mengusahakan sawah padi secara lebih tersusun dan berdaya maju.






